Selera & Santai 15 Feb, 2026

Makanan jadi magnet pelancong! Kempen CCMM! Bukan sekadar makan-makan! Tentang budaya dan sejarah!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Malaysia memang tak pernah kalah dalam bab makan. Dari nasi lemak ke mi kari, dari sate ke kuih tradisional – semuanya ada cerita. 

Kali ini, kekuatan itu digerakkan secara lebih tersusun menerusi pelancaran kempen Cuti-Cuti Makan Malaysia (CCMM).


Miss Malaysia Kebaya mempromosi Cuti-Cuti Makan Malaysia.
Inisiatif yang digerakkan oleh Miss Malaysia Kebaya dengan sokongan Tourism Malaysia ini bukan sekadar kempen promosi makanan, tetapi satu gerakan untuk jadikan gastronomi sebagai tarikan utama pelancongan negara.
Dilancarkan di Damansara pada Rabu, 11 Februari 2026 lalu, program ini menghimpunkan figura budaya dan industri makanan seperti Puan Sri Nisa Bakri, Cef Dr Liza Zainol, Cef Erin Zainol, Leng Yein serta personaliti media Boss Apai – tanda sokongan pelbagai lapisan terhadap idea ini.
Pengerusi penganjur, Dr. Jason Hee menjelaskan bahawa CCMM mahu ubah cara orang melihat makanan Malaysia.
“Makanan kita bukan sekadar untuk kenyang. Ia cerita tentang budaya, sejarah dan kepelbagaian rakyat Malaysia. Kita mahu dunia datang bukan hanya untuk melancong, tetapi untuk merasa pengalaman itu,” katanya.
Menurut beliau, CCMM juga memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), cef tempatan serta pengusaha restoran untuk lebih menyerlah dan berkembang.

Maknanya, bukan hanya restoran besar dapat manfaat, tetapi peniaga kecil dan usahawan makanan tempatan juga boleh tumpang sama naik.


Cef Liza (dua dari kiri) bersama barisan cef bagi mempromosi makanan tempatan kepada pelancong.

Menariknya, CCMM dirancang sebagai platform jangka panjang. Bukan acara setahun sekali, tetapi satu ekosistem yang bergerak dari jelajah negeri, kolaborasi media, pameran cef hinggalah penglibatan komuniti.

Usaha ini turut disokong rakan strategik seperti Advanced Integrative Wellness yang diterajui Ian Lim, First Pavilion Global Berhad (Kym Sit May) serta Paul Wong selaku Advocator Pembangunan Strategik Pelancongan Kreatif Malaysia–China.

Gabungan sektor budaya, korporat dan industri kreatif ini dilihat mampu menjadikan CCMM lebih kukuh dan mampan.

Seiring pelancaran itu, restoran Grandmama’s turut memperkenal Bufet Iftar Ramadan ‘Sajian Nenda’ sebagai simbol penghormatan kepada resipi warisan.

Antara yang jadi tumpuan ialah Kambing Golek, Daging Salai Wagyu Masak Lemak Cili Api, Mi Kari Udang Galah dan deretan pencuci mulut klasik Melayu yang pasti buat ramai teringat masakan nenek di kampung.

Bufet ini berlangsung dari 23 Februari hingga 17 Mac 2026, manakala majlis berbuka puasa korporat di Pavilion Arena dijadualkan antara 2 hingga 15 Mac 2026.


CCMM bukan sekadar makan, tetapi ia menonjolkan kepelbagaian budaya negara.

Ringkasnya, CCMM bukan sekadar cerita makan sedap. Ia tentang menjadikan makanan sebagai identiti, ekonomi dan pengalaman pelancongan.

Kalau sebelum ini orang datang Malaysia untuk pantai dan membeli-belah, selepas ini mungkin mereka datang dengan satu misi – jelajah rasa dari utara ke selatan. - KitaReporters


Jason (lapan dari kiri) bersama rakan strategik bakal menawarkan pengalaman menarik buat pelancong.

16
15
0
7
0
You will be interested