Nasi lemak bukan sekadar sarapan, ia adalah identiti.
Keaslian nasi lemak terletak pada nasi yang berbutir cantik, beraroma santan, tidak terlalu lembik dan tidak pula kering, dengan rasa lemak yang seimbang hasil gabungan santan segar, air, garam serta daun pandan.
Santan perlu menyerap ke dalam nasi, bukan sekadar menyelaputi permukaan.
Jika sukatan tersasar, beras tidak sesuai atau santan tidak larut sempurna, nasi akan jadi berketul, berminyak, melekat dan ‘tak jadi’, sesuatu yang jelas boleh dilihat dan dirasa sebaik sahaja disenduk.
Itulah yang tular dalam media sosial apabila satu video menunjukkan keadaan nasi lemak yang terlalu lembik, berminyak dan tidak sebati dikongsi oleh seorang pengguna aplikasi Threads, sekali gus mencetuskan reaksi netizen.

Lebih mengejutkan, nasi tersebut tetap dijual kepada pelanggan.
Video itu bukan sahaja menyentuh soal rasa, malah membangkitkan persoalan besar tentang tanggungjawab peniaga terhadap kesihatan dan kepercayaan pelanggan.
Pemilik video, @Emyliasuraya__, meluahkan kekecewaan
apabila menerima nasi lemak dalam keadaan yang sukar ditelan.
“Beli nasi lemak pagi tadi, tergamak ya jual macam ni. Sudahlah kita memang tengah sakit perut, nak nangis rasa.
"Kalau saya jadi peniaga, rasanya kalau dah macam ni, saya takkan jual. Biarlah rugi sikit daripada mudaratkan pelanggan,” luahnya dalam Threads.

Luahnya lagi, dia hairan bagaimana peniaga tersebut tidak tahu tentang keadaan nasi lemak yang dijual.
“Itulah, kali pertama juga jumpa, takkan masa cedok tak perasan nasinya tak jadi kan? Ini walaupun kacau elok pun memang dah tak jadi, lembik semuanya,” kongsinya.

Ruang komen segera dibanjiri pelbagai reaksi. Ada yang menyindir, ada yang marah dan ramai yang berkongsi pengalaman ‘first try’ yang gagal.
Namun satu perkara dipersetujui iaitu kalau tak jadi, jangan jual.
“Ni macam nasi lemak bodoh-bodoh saya first try nak buat dulu je haha. Makan kat rumah bolehlah kak, kalau sudah gagal janganlah jual. Allah, buat naya kat orang,” tulis salah seorang netizen.

Rata-rata netizen menyalahkan peniaga kerana tidak memeriksa barang jualan terlebih dahulu sebelum dijual. Manakala ada juga memberi penjelasan kenapa nasi lemak tersebut menjadi sedemikian rupa.
“Allahu, ni macam guna santan paket kemudian tak larutkan. Hmmm,” kongsi netizen.
Menurut Emyliasuraya__, dia membeli nasi lemak tersebut secara dalam talian.
“Tak pasti, saya beli dalam Foodpanda ni, biasa cedok bubuh dalam bekas apabila dapat tempahan. Takkan tak perasan nasinya lembik, pelik,” jawabnya kepada netizen yang bertanya.

Isu nasi lemak tak jadi ini bukan untuk membuka aib sesiapa, tetapi sebagai satu peringatan bahawa setiap hidangan yang dijual membawa bersama tanggungjawab besar.
Di sebalik sepinggan nasi, ada kepercayaan, harapan dan kesihatan pelanggan yang dipertaruhkan.
Dalam dunia perniagaan makanan, rasa mungkin boleh dimaafkan, tetapi kualiti dan kejujuran tidak boleh dikompromi. - KitaReporters
