RESORT KAMPUNG Tok Senik yang suatu ketika terkenal dan popular di Langkawi, kini hanya tinggal nama. Ia tidak lagi beroprasi. Menurut pihak pentadbir, resort tersebut ditutup sepenuhnya tahun lalu (2025).

Sebuah rumah di Resort Kampung Tok Senik terbiar dikelilingi semak samun dan pokok liar. - Gambar-gambar oleh penulis.

Bumbung rumah rebeh menanti masa untuk gugur ke bumi.
Terletak di Mukim Ulu Melaka, kira-kira empat kilometer dari Makam Mahsuri, resort berkonsep rumah kampung Melayu yang dikelilingi persekitaran hijau serta kawasan berbukit nyaman dan sejuk itu tinggal terbiar. Keadaannya uzur, persekitaran sunyi dipenuhi semak samun.
Berbanding resort lain, kawasan peranginan tersebut unik kerana ia menampilkan rumah Melayu dalam pelbagai bentuk dan saiz, iaitu standard, deluxe dan suite.
Konsepnya sejajar dengan visi murni untuk memartabatkan budaya Melayu.
Pembinaan resort adalah atas ilham perdana menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau mahukan sebuah pusat peranginan yang mengekalkan seni budaya dan gaya hidup Melayu tulen bagi mengimbangi pembangunan moden di Langkawi.

Rumah yang suatu ketika dahulu gah kini terbiar dengan persekitaran dan jalan akses dipenuhi semak samun.

Gambar fail... 'Rumah Pak Teh', antara yang terdapat di Resort Kampung Tok Senik.
Kenapa diberi nama Resort Kampung Tok Senik? Nama itu sempena seorang tokoh tempatan yang kaya, Tok Senik. Dia merupakan individu pertama memiliki kereta (jenis Austin) di Langkawi. Dia sangat mementingkan seni bina asli Melayu pada rumahnya.
Resort Kampung Tok Senik dibangunkan oleh Maju Holdings dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Pembinannya mencatat sejarah kerana disiapkan dalam tempoh hanya 90 hari. Ia dirasmikan pada 9 Ogos 1996.
Resort dibina
dalam kawasan berkeluasan 46 ekar (18.7 hektar) dengan konsep ‘Kampung Dalam
Taman’. Diperbuat daripada kayu dan papan, setiap sebuah rumah boleh dikategori
sebagai rumah banglo mewah berciri seni bina Melayu.
Setiap rumah dibina mengikut reka bentuk rumah tradisonal. Reka bentuk berbeza bergantung kepada kategori sama ada standard, deluxe atau suite.

Rumah besar dan cantik. Sayangnya sudah rosak dan dipenuhi semak.
Setiap unit ada nama tersendiri, menggunakan nama individu seperti Rumah Pak Teh, Rumah Tok Penghulu dan Rumah Tok Imam.
Juga nama bunga seperti Vila Cempaka, Vila Kenanga, Vila Melati, Vila Mawar. Nama kayu juga diguna seperti Vila Meranti, Vila Cengal, Vila Jati dan Vila Nyatuh.
Unit rumah bertiang tinggi untuk tujuan pengudaran dan hembusan angin sejuk, serta mempunyai tangga kayu klasik. Beranda merupakan ruang santai di bahagian luar untuk menikmati udara segar.

Bangunan rumah yang cantik tersergam di Resort Kampung Tok Senik suatu ketika dahulu.

Gambar fail... Kolam renang di Resort Kampung Tok Senik yang kini hanya tinggal kenangan.
Setiap satu rumah terasing antara satu sama lain, tetapi berjiran. Ada akses jalan tersendiri ke setiap rumah. Mereka yang tinggal di resort ini menyewa rumah menurut kategori pilihan.
Rumah serba lengkap dengan bilik tidur mewah, bilik air, kipas, penghawa dingin, ruang tamu dan ruang dapur. Juga ada kemudahan menjamu selera di 'Warung Tok Mat'.

Bilik tidur mewah dalam salah sebuah rumah di Resort Kampung Tok Senik, suatu ketika dahulu.
Pembinaan resort dalam kawasan ‘sunyi’, jauh dari kesibukan pekan adalah menepati aspirasi menyediakan tempat bersantai dalam keadaan tenang dan damai. Resort mewah ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Namun itu kisah indah dahulu. Resort Kampung Tok Senik kini terbiar, mereput dan dipenuhi belukar. Rumah-rumah kayu yang cantik hilang bentuk asalnya kerana rosak, juga dimamah oleh semak samun dan pokok liar.
Beberapa bahagian rumah rebeh di sana sini, ada yang jatuh menyembah bumi. Laluan ke setiap rumah kotor dan dipenuhi semak. Hanya pintu gerbang masih nampak kukuh.

Hanya pintu gerbang Resort Kampung Tok Senik yang masih kukuh berdiri. - Gambar-gambar oleh penulis.

Papan tanda satu lagu kenangan yang masih berdiri di Resort Kampung Tok Senik.
Tidak dinyatakan sebab Resort Kampung Tok Senik ditutup. Mungkinkah berkait dengan masalah kewangan? Atau adakah akibat serangan Covid-19?
Tetapi adakah resort tersebut hendak dibiar terus mereput dan semua rumah menyembah bum? Tidak adakah sebarang usaha memulihkannya?
Kerajaan negeri, kerajaan pusat atau pengusaha swasta tidakkah berminat mengidupkannya kembali?
Jika tiada apa dilakukan, Resort Kampung Tok Senik yang berprestij itu akan terus terbiar, perlahan-lahan kembali ke asal menjadi hutan.
Yang tinggal hanyalah nama yang juga perlahan-lahan
hilang daripada ingatan. - KitaReporters