Pengusaha pelancongan di Langkawi kini giat membuat persiapan bagi menyambut lonjakan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa sempena cuti Tahun Baharu Cina (pada 17 dan 18 Februari 2026) yang dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan pulau peranginan terkenal itu.


Antara tarikan utama Langkawi.
Beberapa
pengusaha hotel, agensi pelancongan, operator bot serta pengendali aktiviti
rekreasi memaklumkan kadar tempahan menunjukkan peningkatan ketara berbanding
tempoh biasa, sekali gus memberi petanda positif kepada industri pelancongan di pulau legenda ini.
Menurut
pengusaha pelancongan tempatan, pelbagai persediaan telah dilakukan termasuk
menaik taraf kemudahan penginapan, menyediakan pakej pelancongan menarik serta
memperkukuh tahap keselamatan dan mutu perkhidmatan pelanggan bagi memastikan
pengalaman terbaik kepada pengunjung.
Mereka turut menjangkakan kehadiran pelancong dari negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia selain pelancong dari Eropah serta Timur Tengah yang menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan kerana keunikan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Setiap kali cuti jeti Kuala Perlis dan Kuala Kedah jadi tumpuan.

Langkawi
terkenal dengan pelbagai tarikan menarik termasuk pantai yang indah,
pulau-pulau geopark, aktiviti sukan air, pengalaman island hopping serta
tarikan ikonik seperti kereta kabel dan jambatan gantung yang sentiasa menjadi
tumpuan pelancong.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, cuti umum kebangsaan bakal jatuh pada 17 Februari 2026 (Selasa) bagi hari pertama dan 18 Februari 2026 (Rabu) bagi hari kedua.
Mengikut kalendar semasa, tempoh cuti ini berpotensi menjadi lebih panjang sekiranya orang ramai mengambil cuti tambahan pada 16 Februari 2026 (Isnin), sekali gus memberi peluang kepada pelancong merancang percutian lebih lama bersama keluarga.


Pada masa sama, pemain industri pelancongan menekankan kepentingan kerjasama
strategik antara pengusaha, agensi kerajaan dan komuniti setempat bagi
memastikan sektor pelancongan Langkawi terus berdaya saing dan mampan.
Pengusaha pelancongan optimis bahawa peningkatan aliran pelancong bukan sahaja merancakkan ekonomi pulau tersebut, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya dalam sektor perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan pelancongan. - KitaReporters

