Selera & Santai 07 Feb, 2026

Festival Ramadan Putrajaya kembali! Anjung Syawal jadi tumpuan 1 juta pengunjung! Ada 300 lot niaga!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

ANJUNG Syawal Festival Ramadan Putrajaya 2026 (FRP 2026) dari 18 Februari hingga 19 Mac 2026 di Dataran Putrajaya, Presint 3 dijangka menarik kehadiran sehingga sejuta pengunjung termasuk pelancong luar negara, sekali gus muncul antara bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang.


Beginilah kemeriahan dan sambutan hebat pengunjung sempena Festival Anjung Syawal 2025.


Program anjuran Puncak Niaga Maju Sdn. Bhd. (PNM) itu menyediakan lebih 300 lot niaga merangkumi pelbagai kategori jualan termasuk fesyen Aidilfitri, aksesori, kuih tradisional serta juadah berbuka puasa, menjadikannya destinasi sehenti untuk persiapan Ramadan dan Syawal.

Pengurus Anjung Syawal 2026, Muhammad Aminnoriman Azmi, berkata penganjuran kali ini pihaknya memastikan penyusunan atur cara dilakukan secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Anjung Syawal FRP 2026 bukan sekadar bazar, sebaliknya sebuah platform yang menggabungkan elemen perniagaan, kerohanian dan hiburan keluarga dalam suasana yang selesa serta tersusun.

"Anjung Syawal yang beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada hari bekerja, serta 10 pagi hingga 12 tengah malam pada hujung minggu, menawarkan pengalaman membeli-belah dan beriadah dari siang sehingga lewat malam," katanya pada sidang media selepas pelancaran Anjung Syawal 2026 di Dewan Melati, Perbadanan Putrajaya.


Muhammad Aminnoriman Azmi


Muhammad Aminnoriman berkata, antara tarikan utama adalah penyertaan jenama tempatan dan selebriti terkenal, selain pelbagai jenama popular lain.

“Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan artis popular setiap minggu, sesi temu mesra bersama selebriti dan pempengaruh, serta persembahan lagu-lagu raya eksklusif yang jarang ditampilkan di lokasi terbuka.

"Selain hiburan, kami turut memberi penekanan kepada pengisian rohani dengan menampilkan 31 penceramah, termasuk penampilan khas Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil serta ceramah dan tazkirah pendakwah terkenal," katanya.



Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di antara penganjur, penaja utama dan rakan strategik sempena FRP 2026!


Tambah Aminnoriman, persembahan kumpulan dan penyanyi nasyid popular seperti Hijjaz, Rabbani, Inteam, Hafiz Hamidun dan Mu’adz turut dijadualkan bagi mengimarahkan suasana Ramadan.

“Melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ia turut menyokong inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dengan menampilkan produk pelancongan tempatan serta aktiviti mesra pelancong. Mereka akan dibawa mengunjungi bazar Ramadan dan menikmati makanan tempatan.

"Kerjasama strategik bersama MOTAC ini bertujuan menarik kehadiran pelancong, khususnya dari luar negara, untuk melihat dan merasai sendiri keunikan suasana sambutan Ramadan dan Aidilfitri di Malaysia yang kaya dengan elemen budaya, tradisi serta keharmonian masyarakat," katanya.


Umat Islam berbuka puasa beramai-ramai di ruang terbuka berhadapan Istana Kehakiman dan Perbadanan Putrajaya.


Katanya, Festival Ramadan Putrajaya 2026 yang diterajui Perbadanan Putrajaya (PPj) turut merangkumi penganjuran Laman Iftar terbesar di Wilayah Persekutuan, empat lokasi Bazar Ramadan dan Gastroseni@WP, bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 PPj.

"Anjung Syawal bersempena Festival Ramadan Putrajaya 2026 dijangka menjadi antara acara  Ramadan paling berprestij dan dinanti di Malaysia, menggabungkan elemen kerohanian,  perniagaan, hiburan dan komuniti dalam suasana yang harmoni dan inklusif.

"Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan sambutan Ramadan serta menyokong usahawan tempatan sambil menikmati pengalaman festival yang  unik di Putrajaya," katanya. - KitaReporters


14
17
0
9
0
You will be interested