Selera & Santai 05 Feb, 2026

Lain daripada lain! Binaan Surau Langgar Rindu ala era Flinstone! Guna kayu pokok tembusu, cengal!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

KEMBALI ke era Flinstone? Mungkin ini yang terlintas pada fikiran apabila melihat bangunan Surau Langgar Rindu di Kampung Rhu Tapai, di Terengganu.

Surau ini dibina sepenuhnya menggunakan kayu, menyerlahkannya seperti seni bina zaman Flinstone. Ia terletak di Jalan utama Kuala Terengganu-Merang.


Surau Langgar Rindu di Kampung Rhu Tapai, Merang, menggunakan kayu sepenuhnya daripada pelbagai saiz dan bentuk, sekali gus menampilkan keunikan binaan ala Flinstone.


Diilhamkan oleh Abdul Karim Embong, komponen utama digunakan sebagai bahan binaan asas ialah kayu pokok tembusu serta kayu cengal sumbangan orang ramai. 

Bangunan surau dipasak dan disambung menggunakan skru. 

Keluasan surau tersebut ialah 1,064 kaki persegi (98.9 meter persegi), dibina dengan ‘gaya bebas’, iaitu tanpa menggunakan lakaran pelan. Ini membuktikan kemampuan daya imaginasi pencipta surau berkenaan.

Walau pun tanpa pelan canggih, Surau Langgar Rindu terbina indah. Berkonsep rumah bertiang, ia menyerlahkan ciri-ciri rumah Melayu. 

Rumah masyarakat Melayu di kampung memang kebiasaanya bertiang tinggi, terutama rumah generasi dahulu.

Cuma banyak perubahan berlaku di kampung apabila ramai generasai baharu membina rumah di atas tanah, diperbuat daripada batu.


Pemandangan sisi Surau Langgar Rindu yang menjadi tumpuan pelawat luar selain tempat beribadat penduduk tempatan.

Abdul Karim membina surau tanpa bantuan peralatan canggih tetapi lebih menggunakan kepakarannya bertukang kayu. Kayu kayan yang sesuai untuk dijadikan bahan binaan surau dikumpul dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Negeri Terengganu memang terkenal dengan karyawan yang mahir pertukangan dan ukiran kayu, bukan sahaja dalam pembinaan bangunan ibadah dan kediaman tetapi juga pelbagai bentuk seni kraf lain.

Surau Langgar Rindu antara bukti tersebut. Penggunaan kayu bermutu tinggi, menjadikan bangunan kukuh dan menarik. Ia menjadi wadah penduduk tempatan beribadah.


Zulkifli Al-Bakri (kanan) pernah berkunjung ke Surau Langgar Rindu, Merang. Di sampingnya ialah Abdul Karim Embong.


Kerana kunikannya juga, surau menjadi tumpuan pengunjung dari luar kawasan dan negeri lain. Mereka bukan sahaja datang untuk melihat dari dekat tetapi turut merasai menunaikan solat di surau berkenaan.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Zulkifli Al-Bakri juga tidak melepaskan peluang berkunjung ke surau tersebut tidak lama dahulu.

Menyaksikan surau tersebut, kita pasti tertarik dengan kepakaran pembinaannya. Terasa kagum melihat bagaimana surau yang dibuat daripada kayu pelbagai jenis, bentuk dan saiz  disusun reka dengan begitu teliti.


Rak meletakkan al-Quran dan buku bacaan agama yang lain ada disediakan di Surau Langgar Rindu.


Dengan konsep ruang terbuka atau ‘open space’ , surau inimemberi satu pengalaman baharu kepada orang ramai bersolat kerana selama ini sering solat dalam bangunan surau atau masjid yang tertutup.

Tiupan angin menyegarkan mereka yang bersolat. Walaupun begitu tetap disediakan kemudahan seperti kipas angin dan lampu untuk kegunaan pada waktu malam.

Terdapat juga rak yang menempatkan kitab suci al-Qquran dan bahan bacaan agama untuk kegunaan para jemaah. Pendek kata ia mempunyai segala kelengkapan seperti surau biasa lain.


Sebahagian ruang solat Surau Langgar Rindu, Merang, menampilkan binaan kayu dan papan dalam suasana ruang terbuka.


Jika berkesempatan berkunjung ke Terengganu, jangan lupa singgah di Merang untuk melihat sendiri keunikan Surau Langgar Rindu. 

Ambil kesempatan menunaikan solat di situ di samping mengambil gambar untuk kenangan. KitaReporters

13
15
0
12
0
You will be interested