Keadaan kenderaan dinaiki Nash selepas terlibat kemalangan di Kilometer 250.8 (arah Utara), Lebuh Raya Utara-Selatan, Seremban pada 20 April 2021. - Kredit foto: Orang awam
PENYANYI terkenal tanah air, Nash, 62, mengalami kecederaan setelah kenderaan dinaikinya terbabas di Kilometer 250.8 (arah Utara) Lebuh Raya Utara Selatan dekat Seremban, kira-kira pukul 4 petang, 20 April 2021.
Nash atau nama sebenarnya Datuk Jamaludin Elias yang cedera pada bahagian muka serta mengadu sakit dada telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata kemalangan dipercayai berlaku sewaktu Nash bersama pemandunya dalam perjalanan dari arah Johor menuju ke Kuala Lumpur.
"Tiba di lokasi kejadian, Toyota Harrier dinaiki Nash terlanggar lopak air hingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan kemudiannya terbabas melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.
"Nash alami kecederaan pada bahagian muka serta mengadu sakit dada, manakala pemandunya seorang lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan luka-luka ringan.
"Kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain. Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia, 20 April 2021. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
Kredit foto: JPAM Rembau