Insan & Komuniti 22 Jun, 2021

Berita Terkini| Bomba selamatkan wanita, dua anak dikurung suami! Tertekan kerana hilang kerja!

@news editor 2
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com

Share this

Setelah usaha memujuk tidak diendahkan, anggota bomba kemudiannya bertindak mengumpil pintu gril dan memotong mangga bagi menyelamatkan tiga beranak yang dikurung. - Kredit foto: Ihsan Bomba


BOMBA berjaya menyelamatkan seorang wanita yang dikurung oleh suaminya sendiri bersama dua anak mereka di sebuah rumah di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan pada 21 Jun 2021.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang, Zainurin Sarip berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam  8.51 malam dan tiba di kediaman keluarga tersebut di Taman Nusa Intan kira-kira 9 minit kemudian.

“Suami mangsa berusia 31 tahun mengurung isteri dan dua anaknya berumur setahun serta empat bulan di rumah mereka sejak pagi. Dia bertindak mengunci pagar, pintu gril dan pintu belakang dari dalam serta tidak benarkan isteri serta anaknya keluar.

“Pihak bomba terpaksa mengumpil dan memotong kunci mangga pintu gril bagi menyelamatkan tiga beranak berkenaan setelah usaha memujuk lelaki tersebut tidak diedahkannya.

“Pujukan abang kandungnya dari Mambau juga tidak berjaya. Selepas wanita dan dua anaknya berjaya diselamatkan bomba, mereka kemudiannya dihantar ke rumah jiran,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro, 22 Jun 2021.

Tambah beliau, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang operasi penyelamatan itu dan lelaki terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa pulang ke rumah abangnya.

Katanya lagi, berdasarkan maklumat mangsa suaminya itu telah kehilangan pekerjaan sebagai jurujual kereta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020 lalu.

“Selepas hilang kerja, mangsa mendakwa suaminya dilihat mula berubah dan tekanan dialami memuncak sejak beberapa hari lalu hingga telah bertindak rosakkan telefon bimbit mangsa kerana tidak mahu isterinya berrhubung dengan dunia luar," kata Zainurin. KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
0
1
0
0
You will be interested