PELBAGAI pihak tidak lokek menyalurkan sumbangan bantuan bagi meringankan beban Noraqilah Roslan dari Kampung Kanchong Tengah, Banting di Kuala Langat, Selangor yang tidak mempunyai sumber pendapatan kerana tiada berkerjaya untuk menjaga suaminya yang masih koma akibat terlibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan balik kerja sejak lima bulan lalu. : KitaReporters
Gambar terkini Muhamad Norezwa yang masih terlantar koma tidak sedarkan diri di rumah kakaknya di Kampung Kanchong Tengah, Banting, Kuala Langat, Selangor akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 14 Februari 2020 semasa balik daripada bekerja. - Kredit foto-foto: Komuniti Kuala Langat.
Antara pihak yang prihatin dengan penderitaan ibu kepada dua orang anak yang masih kecil dan berusia 26 tahun ini termasuklah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kanchong Tengah dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib, Kuala Langat melalui wakil rakyatnya, Hasnul Baharuddin.
Bagi tujuan ini, LZS menghulurkan bantuan 'one off' berjumlah RM3,047.00 untuk pembelian katil, tilam khas dan peralatan bantuan oxygen.
Juga bantuan perubatan bulanan termasuk susu, pampers dan alat rawatan yang lain kewangan serta makanan berjumlah RM1,509.00 sebulan.
Pihak LZS melalui pegawainya pada peringkat daerah Kuala Langat sentiasa mengikuti perkembangan semasa keluarga Nuraqilah khususnya suami beliau dalam usaha menyalurkan bantuan yang sesuai.
Nuraqilah Roslan memandang sayu keadaan suaminya yang terlantar koma sejak lima bulan lalu.
Pihak PERKESO melalui Skuad Prihatin PERKESO pula telah menghubungi keluarga malang ini dan berjanji akan menguruskan bantuan di bawah Skim PERKESO dalam usaha meringankan beban yang ditanggung.
Sementara itu, ADUN Kawasan Morib, Hasnul Baharuddin dan MPKK Kampung Kanchong Tengah telah menyumbang pemberian bantuan awal termasuk barangan keperluan asas.
Komuniti Kuala Langat (KKL) dalam hantaran media sosialnya yang tular pada Sabtu, 30 Mei 2020 menghargai dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan doa warga Malaysia khususnya yang membantu keluarga Noraqilah.
Terima kasih, katanya kepada semua hamba Allah yang membantu dan menjadi penyumbang semoga Allah membalas semuanya di akhirat nanti.
Juga harapan agar Allah menyenangkan usaha sesiapa sahaja yang memudahkan urusan orang lain.
Melalui sumbangan bantuan ini yang bertujuan meringankan tanggungjawab menjaga suami dalam keadan koma dan dua orang anak masih kecil diharap mampu memberi kekuatan dan ketabahan kepada Nuraqilah dalam mengharungi dugaan getir terpaksa dilalui.
"Berat mata memandang berat lagi bahu memikul dengan dugaan agak serius dihadapi kerana sebelum ini suami beliaulah menjadi tunggak harapan dan punca pendapatan keluarga," menurut posting KKL itu.
Nuraqilah Roslan bersama dua orang anaknya yang masih kecil. Anak yang dipangkuan ialah Muhamad Faddly Fayyad baru berusia satu bulan setengah. - Kredit foto: Komuniti Kuala Langat.
Buat masa ini, Nuraqilah tinggal di rumah kakaknya di Batu 24, Jalan Setia Jaya, Kampung Kanchong Tengah, Banting, Kuala Langat bagi memudahkan beliau memantau perkembangan semasa suaminya, Muhamad Nurezwa, 32, yang terpaksa dibantu untuk minum susu, buang air kecil atau besar kerana masih lagi tidak sedarkan diri.
Suaminya mengalami kecelakaan ini di Kampung Kanchong Darat semasa balik kerja pada 14 Februari 2020.
Laporan awal mengenai kisah Noraqilah boleh di baca dalam laporan bertajuk: Tolonglah bantu Nuraqilah! Suami koma kemalangan jalan raya!
Shamsiah Mohamad menerima bantuan kecemasan daripada Eksekutif Operasi Agihan Lembaga Zakat Selangor Daerah Petaling, Shahril Kifin semasa beliau berkunjung untuk tujuan kaji siasat dalam usaha membolehkan keluarga berkenaan menerima bantuan-bantuan yang sesuai. - Kredit foto: Lembaga Zakat Selangor.
Sementara itu,seorang ibu kepada enam orang anak terpaksa mengalas tanggungjawab menanggung perbelanjaan harian keluarga selepas suaminya dimasukkan ke wad Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya kerana menghidap kanser usus tahap empat sejak Mac 2020 lalu.
Bagi Shamsiah Mohamad, 36, dari Daerah Petaling dengan pendapatan sebagai seorang kerani tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga termasuk bayaran ansuran bulanan rumah, kos rawatan suami, menanggung enam orang anak selain bil bayaran hospital dan beberapa bayaran tunggakan lainnya.
Suami beliau sebelum ini berniaga di pasar malam sekitar Daerah Petaling.
Eksekutif Operasi Agihan LZS Daerah Petaling , Shahril Kifin dalam kunjungan bagi tujuan proses kaji siasat menyatakan keluarga Shamsiah layak didaftarkan sebagai asnaf Pusat Zakat Selangor setelah hasil siasatan dijalankan.
Suami, Shamsiah Mohamad terpaksa dimasukkan ke wad Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya kerana menghidap kanser usus tahap empat sejak tiga bulan lalu pada Mac 2020. - Kredit foto: LZS.
Pada kunjungan itu beliau turut menyampaikan bantuan kecemasan kepada Shamsiah.
Pihak LZS, katanya akan meyalurkan beberapa jenis bantuan yang sesuai yang sekarang ini masih dalam proses tindakan.
Shahril berkata, bukan suatu yang mudah untuk seorang isteri seperti Shamsiah mengambil alih tanggungjawab selama ini dipikul oleh suami lebih-lebih lagi dengan pelbagai tanggungan termasuk anak seramai enam orang.
Beliau turut mendoakan semoga keluarga Shamsiah diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan yang mencabar ini. - KitaReporters