Insan & Komuniti 25 Mar, 2021

Aiskrim Pulut Abam Bisu! Tarik perhatian pembeli walaupun penjualnya OKU! Kurang mahir mengira

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Mohd Ariff (kiri) dan adiknya, kedua-dua mereka Orang kelainan Upaya, menjual aiskrim di pinggir jalan berhampiran Universiti Help di Subang Bestari, Subang, Selangor. - Kredit foto: Video FS Channel.


DENGAN keadaannya sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), namun tidak mematahkan semangat dan keazaman seorang penjual aiskrim untuk berjaya dalam bidang perniagaan selain menjadikannya sebagai bidang kerjaya hariannya.

Selain itu, sekalipun pemuda ini kurang mahir mengira dia tetap tabah menjalankan perniagaan yang turut dibantu oleh adiknya yang juga seorang OKU. Malahan kedua-duanya tetap gigih melalui pelbagai rintangan lebih-lebih lagi sebagai peniaga di jalanan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan OKU:

https://kitareporters.com/search?search=OKU


Yang penting usaha! Pemuda bisu jual aiskrim guna nota khas


Bagi Mohd Ariff kecacatan yang dialami iaitu bisu dan pekak tidak menjadikan dia rasa rendah diri sebaliknya tetap tabah dan menyimpan keazaman untuk berjaya melakukan pekerjaan tersebut setiap hari.

Perniagaan aiskrim yang dikenali sebagai 'Aiskrim Pulut Abam Bisu' ini bertempat di pinggir jalan di hadapan Universiti Help, Subang Bestari di Subang, Selangor beroperasi setiap hari kecuali Isnin antara jam 12.30 tengah hari hingga 6.00 petang.


Untuk memudahkan orang ramai, Mohd Ariff  yang bisu dan pekak meletakkan banting pesanan di hadapan gerai jualan aiskrimnya.


Keenakan aiskrim yang mengandungi campuran kacang, pulut, vanila dan coklet berjaya menambat hati siapa sahaja yang pernah membelinya.

Individu OKU kategori bisu dan pekak ini, yang  dibantu oleh adiknya yang juga OKU lembab berpunca jatuh dari buaian semasa berumur 10 tahun, pada mulanya kurang yakin menguruskan pernigaan menjual aiskrim tersebut disebabkan sudahlah masalah OKU, dia juga tidak begitu mahir mengira.

Bagaimanapun hasil dorongan, motivasi dan kawal selia yang dilakukan oleh kakak mereka, kedua-dua beradik berkenaan gigih dan tabah melakukan jualan aiskrim yang kian mendapat sambutan menggalakkan setiap hari.

Mohd Ariff yang sudah berkahwin sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu pemandu lori yang tugasnya mengangkat barangan dihantar. Bagaimanapun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia diberhentikan kerja kerana perniagaan majikannya merosot.


Selain sebagai pemantau perniagaan yang dijalankan kakaknya merupakan orang yang bertanggungjawab sebagai pembakar semangat untuk Mohd Ariff (tengah) dan adiknya yang juga orang kelainan upaya menjalankan jualan 'Ais Krim Pulut Abam Bisu'.


Dia menerima cadangan daripada kakaknya supaya berniaga aiskrim sekalipun pada mulanya tidak begitu yakin. Malahan ahli keluarga turut membenarkannya berniaga setelah diberikan jaminan kakaknya akan bersama memantau perniagaan dijalankan.

Setelah perniagaan aiskrim tersebut berjalan beberapa minggu dan mendapat sambutan Mohd Ariff bersama adiknya seronok dan yakin dengan perniagaan menjual aiskrim berkenaan.

Beliau bangga dengan perniagaan dijalankan kerana secara tidak langsung memberi ruang pekerjaan kepada dia dan adiknya.

Sekalipun peniagaan tersebut dipantau dan diselia oleh kakaknya, tetapi hasil jualan diserahkan kepada dia dan adiknya selain sebahagiannya dijadikan modal pusingan perniagaan.


Salah seorang pembeli menerima aiskrim yang dibeli di gerai Mohd Arif dan adiknya. Kedua-dua mereka merupakan orang kelainan upaya.


Aiskrim jualan Mohd Ariff dan adiknya berharga RM3 secawan. Selain boleh didapati di gerai jualan mereka, juga boleh ditempah untuk majlis-majlis tertentu seperti sambutan hari jadi, perkahwinan dan sebagainya melalui talian 0111 8781447.    

Perniagaan Aiskrim Pulut Abam Bisu yang menjadi perhatian orang ramai tular dalam YouTube hasil rakaman oleh FS Channel baru-baru ini dalam usaha untuk membantu perniaga kecil terutama yang berjualan di tepi-tepi jalan.

Bagi anda yang tinggal berhampiran tempat gerai jualan Mohd Ariff dan adiknya atau sering melalui jalan berkenaan bantulah dua beradik OKU ini dengan membeli aiskrim jualan mereka.

Malahan mereka yang sudah biasa membelinya menyifatkan aiskrim berkenaan sedap rasanya lebih-lebih lagi waktu cuaca panas. - KitaReporters


Sama-sama orang kelainan upaya, Mohd Ariff (kanan) dan adiknya seronok dan tabah menjalankan perniagaan menjual aiskrim jenama Aiskrim Pulut Abam Bisu.


 

 

0
1
1
0
0
You will be interested