Insan & Komuniti 27 Feb, 2021

Warga SK Pintas Raya tak abai anak yatim, asnaf! Lancar Gerobok Rezeki, Program Ziarah Cakna!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


WARGA pendidik dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) Sekolah Kebangsaan Pintas Raya (SKPR), Batu Pahat, Johor tidak mengabaikan murid dalam kalangan keluarga anak yatim dan asnaf supaya mereka turut cemerlang dalam pelajaran.

Bagi mereka tindakan segera dan berterusan perlu dilakukan supaya murid daripada keluarga itu tidak berasa mereka dibiarkan tanpa bantuan terutama dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan batu Pahat:

https://kitareporters.com/search?search=batu+pahat



Guru Besar SKPR, Yuasmadi Selamat, berkata sehubungan dengan itu di bawah kelolaan Unit Bimbingan Kaunseling yang diketuai Guru Kaunseling, Cikgu Huda Embong sekolah itu melancarkan Program Ziarah Cakna ‘Kami Prihatin’ bagi menghulurkan bantuan kepada murid daripada keluarga terbabit.

Menurutnya, pada masa sama juga SKPR turut mewujudkan Gerobok Rezeki yang menyediakan pelbagai barangan keperluan harian yang boleh diambil secara percuma oleh murid-murid dan ibu bapa termasuk mereka yang tinggal berdekatan walaupun tidak mempunyai anak yang belajar di sekolah itu.


Guru Penolong Kanan 1 (Pentadbiran) SKPR, Cikgu Anuar Ahmad (kanan) menunjukkan Gerobok Rezeki yang dilancarkan baru-baru ini.



Katanya, pihak sekolah ada menerima maklumat mengenai banyak keluarga murid sekolah itu terkesan dengan Covid-19 apabila ada yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan sehingga sukar untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

“Hasil kerjasama guru, AKP dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPR berjaya mengumpul dana untuk mendapatkan pelbagai barangan asas makanan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui Gerobok Rezeki selain disumbangkan menerusi Program Ziarah Cakna.



Yuasmadi menyampaikan sumbangan barangan asas makanan kepada keluarga anak yatim dan asnaf murid SKPR.


“Dalam Program Ziarah Cakna pada 24 Februari 2021 lalu, saya bersama-sama beberapa orang guru dan AKP mengunjungi lima keluarga murid anak yatim dan asnaf sebagai sasaran kumpulan pertama untuk menerima bantuan keperluan harian bagi bulan ini,” kata Yuasmadi.

Beliau berkata, dia terharu apabila mengetahui ada sesetengah murid daripada keluarga terbabit terpaksa melakukan kerja sambilan bagi mencari sumber pendapatan untuk membantu ibu bapa menyara keluarga sedangkan mereka sepatut berada di samping buku untuk mentelaah pelajaran.


Setiap bulan SKPR akan memilih lima keluarga anak yatim dan asnaf untuk mendapat bantuan Program Ziarah Cakna 'Kami Prihatin' sehingga hujung tahun ini.


Menurutnya, setiap lima keluarga akan diziarahi setiap bulan hingga hujung tahun ini bagi menerima bantuan menerusi program berkenaan dan mereka itu akan dikesan serta dikenal pasti terlebih dahulu oleh unit kaunseling hasil maklumat komuniti kampung dan sebagainya.

Guru Penolong Kanan 1 (Pentadbiran), Cikgu Anuar Ahmad, berkata Gerobok Rezeki dan Program Ziarah Cakna itu secara tidak langsung membuka peluang kepada warga pendidik dan AKP sekolah berkenaan terbabit dalam kerja amal.


Yuasmadi memujuk seorang murid daripada keluarga yang dibantu apabila berasa sebak dan terharu diziarahi guru yang menghulurkan sumbangan.


Menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Salina Tahir pula, hasil kesepakatan semua warga pendidik , AKP dan PIBG berjaya mengumpul dana untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian itu.

Manakala Cikgu Huda berkata, dia bersama-sama rakan guru di sekolah itu sentiasa memikirkan kaedah terbaik bagi membantu keluarga anak yatim dan asnaf serta berasa bersyukur apabila pentadbir SKPR turut memainkan peranan besar bagi menjayakan Gerobok Rezeki dan program berkenaan.


Murid daripada keluarga anak yatim dan asnaf turut menerima sumbangan buku viral Cikgu Bob secara percuma.


Sementara itu, suasana sayu dan hiba menyelubungi Program Ziarah Cakna itu apabila Yuasmadi bersama-sama rakan-rakan guru mengunjungi anak istimewa, Nur Alisha Batrisya Ahmad Fauzi dengan membawa kek hari jadi.

Ibu Nur Alisha, Cikgu Norzalinda Hamzah seorang guru di SKPR tidak dapat menahan sebak apabila menerima kunjungan rakan guru bagi meraikan hari jadi anak istimewanya itu. 

Berita kegigihan Cikgu Norzalinda melaksanakan tugas seorang guru dan terpaksa mengurus anak istimewa itu disiarkan dalam KitaReporters sebelum ini. - KitaReporters


Punyai anak istimewa tak jadi penghalang! Cikgu Norzalinda tetap lakukan terbaik untuk PdPR!


Yuasmadi bersama-sama guru SKPR mengakhiri Program Ziarah Cakna 'Kami Prihatin' dengan meraikan hari jadi anak istimewa, Nur Alisha Batrisya yang mengundangkan rasa sebak dan terharu.

15
5
0
1
0
You will be interested