Insan & Komuniti 15 Aug, 2020

Takziah! Pengarah Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Pengarah dan penerbit filem, Yusof Kelana atau nama penuhnya Omar Saleh, 66, dilaporkan meninggal dunia pagi tadi, Sabtu 15 Ogos 2020, di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Kelang, selepas bertarung nyawa akibat kanser kulit tahap empat yang dialami. - KitaReporters


Cerita awal:  Syafakallah Yusof Kelana! Kini derita kanser kulit tahap 4


Berita yang dikongsikan oleh pelakon Salina Saibi melalui laman Instagramnya menyebut "Yusof Kelana baru sahaja meninggal dunia. Mohon sedekahkan Alfatihan dipermudahkan segala urusan."

Perkongsiannya itu yang dimuat naik kira-kira sejam lalu baharu mendapat 75 komen dari para netizen didahului dua artis terkenal Faezah Elai dan Erra Fazira yang masing-masing mengucapkan kalimah ‘Innalillahi wainna illaihirojiun” dan ucapan takziah buat keluarga.




Pada 6 Ogos 2020 lalu, beberapa media tempatan melaporkan pemilik syarikat penerbitan M.E. Communications itu berada dalam keadaan kritikal di Institut Kanser Negara, Putrajaya dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Pengarah filem ‘Tragedi Oktober’ pada tahun 1996 yang merekodkan kutipan pecah panggung RM3.2j ini dilaporkan hanya menyedari beliau menghidap kanser pada Jun 2020 lalu apabila mengalami luka pada bahagian tapak kakinya sebesar 50 sen tetapi enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketika dirawat di hospital. - Kredit gambar: Mstar.

Selepas mengalami sakit dada dan terjatuh di rumah, baharulah Yusof  dibawa ke hospital biarpun berulang kali diajak anaknya.

Memandangkan Yusof tidak mempunyai sejarah penyakit kencing manis, pihak hospital bertindak melakukan ujian Computed Tomography atau CT Scan dan menemui sel kanser yang sudah berada pada tahap empat.

Menurut laporan daripada anak sulungnya, Nur Yusnani Omar, bapanya baharu sahaja menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi namun disebabkan sel kanser sudah merebak ke bahagian otak sehingga menjejaskan tahap ingatan bapanya.

Dan disebabkan keadaannya terlampau lemah doktor terpaksa menghentikan rawatan dan membenarkannya menjalani rawatan paliatif di rumah sahaja.

Allahyarham Yusuf meninggalkan seorang isteri, Nur Maynah bersama dua anak dan dua cucu.

Arwah dijangka dikebumikan selepas solat asar hari ini, namun belum dipastikan lokasi pengebumian. 

Dalam pada itu, Finas "turut rasa sedih dan dukacitanya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga penerbit, pengarah, penulis, karyawan dan pemimpin industri filem yang dihormati, Allahyarham Yusof Kelana yang telah meninggal dunia pada hari Sabtu, 15 Ogos 2020. 

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan beliau di kalangan hambaNya yang soleh dan beriman," tulis Finas dalam hantaran Facebooknya. - KitaReporters

0
0
4
0
0
You will be interested