Insan & Komuniti 04 Apr, 2021

Berita Terkini| Bas ekspres terbalik! 14 cedera termasuk pemandu! Mengantuk disyaki jadi punca

@news editor 2
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke [email protected]

Share this

Bas ekspres dalam perjalanan dari Kulim ke Kuala Lumpur terbalik setelah terbabas di Kilometer 265 Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi 4 April 2021. - Kredit foto: Ihsan JBPM Perak


SERAMAI 14 individu termasuk pemandu cedera setelah bas ekspres dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam longkang di Kilometer 265 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada awal pagi Ahad, 4 April 2021.

Kemalangan berkenaan melibatkan mangsa berusia antara 14 hingga 59 tahun dan bas tersebut dalam perjalanan dari Kulim menghala ke Kuala Lumpur.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 2.22 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh dikejarkan ke lokasi.

“Bas ekspres tersebut terbabas sendiri di bahu jalan dan kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain. Bomba mengeluarkan kesemua mangsa dari bas berkenaan termasuk menggunakan katil pengusung.

“Kesemua mangsa  kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut. Operasi menyelamat berakhir jam 4.39 pagi,” katanya menerusi satu kenyataan media pada 4 April 2021.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian Online, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superitendan Mohamed Nordin Abdullah berkata berdasarkan siasatan awal kemalangan dipercayai berpunca apabila pemandu bas berkenaan  yang berusia 37 tahun itu mengantuk serta terlelap. - KitaReporters


3
0
1
0
0
You will be interested