Insan & Komuniti 15 Jun, 2020

Mat Yazid Mat Salleh! Duduk di pondok buruk! JKM cari waris!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

KISAH kehidupan seorang lelaki dipercayai mengalami masalah kesihatan mental yang tinggal sebatang kara di sebuah pondok kecil di Kampung Seberang Jertih, Terengganu mendapat perhatian pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib malang lelaki terbabit. Dia yang dikenali sebagai Mat Yazid Mat Salleh, 60, sudah lebih lima tahun tinggal di pondok buruk peninggalan seorang penduduk yang sebelum ini dijadikan sebagai tempat berehat. : KitaReporters

ADUN Jertih Datuk Muhammad Pehimi Yusof melawat  lelaki tinggal di pondok buruk


Lelaki usia emas itu bagaimanapun tidak diketahui asal usulnya kerana agak sukar untuk berkomunikasi dengan beliau disebabkan dipercayai mengalami masalah mental.

Malah, dia juga tidak mempunyai pengenalan diri menyebabkan pihak berkuasa menghadapi masalah untuk mencari waris bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi lelaki berkenaan.

Mat Yazid Mat Salleh, 60, tinggal sebatang kara di pondok buruk


Kisah lelaki berkenaan menjadi tular dalam media sosial Facebook Cakna Besut Terengganu (CBT), yang meminta netizen membantu mencari waris dan keluarga Mat Yazid bagi membantu pihak berkuasa untuk diambil tindakan untuk membantunya.

Tular dalam media sosial Facebook meminta netizen mencari waris atau keluarga Mat Yazid, lelaki yang tinggal sebatang kara di sebuah pondok buruk


Lelaki terbabit tinggal seorang diri di pondok kecil yang daif dan usang sejak beberapa lama dan tidak berapa jauh dari lelaki warga emas keturunan Cina, Wong Yau yang sebelum ini pernah mendapat liputan dalam media KitaReporter.  

Laporan yang disiarkan ialah 30 tahun sebatang kara! Warga emas tinggal di rumah usang! dan 

Penderitaan warga emas dapat perhatian! Wong Yau disantuni!

Pentadbir group CBT, Nik Hasmira Nik Yahya aka Nik Erra.


Pentadbir group CBT Nik Hasmira Nik Yahya, 33, berkata, pihaknya pernah berkunjung  ke bangsal penginapan lelaki itu dan menyampaikan sumbangan berupa makanan dan peralatan kerana bersimpati dengan kesukaran kehidupan beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof 


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kehidupan lelaki itu dan dalam proses untuk mengambil tindakan bagi memindahkan beliau ke sebuah rumah penempatan orang tua.

Katanya, beliau sudah melawat warga emas berkenaan bersama dua pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Daerah Besut pada 6 Jun 2020.

Beliau berkata, pihak JKM menghadapi masalah untuk merekodkan status lelaki itu kerana dia tidak mempunyai sebarang pengenalan diri

Ahli-ahli group Facebook Cakna Besut Terengganu (CBT) menyampaikan sumbangan kepada Mat Yazid


“Saya sendiri cuba bertanyakan sesuatu kepada lelaki itu tetapi dia seolah-oleh tidak faham dengan apa yang kita cakap,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak JKM tetap akan menyelesaikan masalah itu dan salah satu cara ialah memindah dia ke rumah orang tua kelolaan JKM.

Muhammad Fehimi turut meminta orang ramai yang mengenali lelaki itu supaya menghubungi JKM Besut bagi memudahkan proses merekodkan pengenalan diri dan seterusnya mengambil tindakan menyelamatkan lelaki berkenaan. - KitaReporters

5
3
12
2
2
You will be interested