Insan & Komuniti 28 Apr, 2020

PETANI GUNA WANG HAJI BANTU ORANG SUSAH!!

@mohd. hazli hassan
A Mobile Journalist (Mojo) trainer by profession but force to be a scuba diver for food. Have more than 28 years experience in the media industry. Get more info on mobile journalism and mobilegraphy at www.mymojo.my

Share this

DI MALAYSIA, Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ustaz Ebit Lew terpaksa memberi keterangan kepada polis Cawangan Khas Bukit Aman ekoran kerja-kerja sukarelanya membantu mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan pergerakan (PKP) akibat tidak 'disenangi' sesetengah mereka yang iri hati, malah ada yang mengecam pendakwah bebas itu. Namun lain ceritanya di luar negara! : KitaReporters


Di luar negara,  seorang buruh petani, yang menggunakan tulang empat kerat untuk mengerjakan hasil usaha tani membelanjakan duit, yang sepatutnya digunakan untuk mengerjakan haji tahun pada 2021, bagi membantu mereka yang kini ditimpa kesusahan akibat penularan wabak Novel Coronavirus (Covid-19) yang hampir melumpuhkan seluruh dunia ketika ini. 

Bagi Abdurrahman Goodinabali, usaha beliau mengumpulkan duit selama puluhan tahun untuk menunaikan rukun Islam kelima itu adalah kecil berbanding untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dan yang memerlukan.

Petani berusia 55 tahun dari sebuah perkampungan berdekatan Mangaluru, India ini menggunakan keseluruhan simpanan wang untuk menunaikan haji yang beliau rancang tahun depan bagi membeli beras dan keperluan asas lain untuk penduduk yang memerlukan di kampung Abdurrahman yang terletak di pusat pentadbiran Bantwal.


"Sama seperti umat Islam yang lain, ayah saya memang menantikan masa untuk menunaikan ibadah haji.

"Dia kerja sebagai buruh petani, mak saya hanyalah penggulung bidi (rokok India) di rumah. Jadi mereka sama-sama mengumpul duit agak lama untuk membolehkan bapa saya menunaikan haji.

"Tapi, dia rasa bersalah hanya kerana mempunyai duit yang banyak (untuk mengerjakan haji) tetapi dalam masa yang sama ramai yang masih lapar serta susah dan merasakan ia adalah satu dosa, jadi dia membuat keputusan untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukannya," kata anak Abdurrahman, Elyas kepada portal berita Times Of India baru-baru ini.


Sementara itu, Abdurrahman dipetik sebagai berkata, dia merasa sedih melihat penduduk di kampung kelahirannya yang miskin dan tidak dapat berkerja akibat perintah berkurung ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.


Atas dasar itu, petani berkenaan berkata, dia cuba membantu mereka yang memerlukan bantuannya dengan menggunakan wang simpanan untuk menunaikan hajinya tahun depan.

Setakat berita ini ditulis, Abdurrahman sudah memberi bantuan kepada 25 keluarga di kampungnya di Bantwal namun tidak mendedahkan berapa jumlah yang sudah dibelanjakan.

Sumber menyatakan untuk menunaikan haji dari India memerlukan seorang itu membelanjakan sekitar Rs3 lakh (RM17,168.11), sementara Abdurrahman dikatakan sudah membelanjakan sekitar Rs80,000 (RM4,565.75) untuk tujuan membantu mereka yang dalam kesusahan.

Status yang dimuat naik oleh Elyas dalam laman media sosial peribadinya sudah mendapat ribuan like, komen dan perkongsian.

Sementara itu di dalam negara, mereka yang ingin menunaikan haji tahun ini dinasihatkan untuk menangguhkan dulu rancangan berkenaan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, yang dipetik sebagai berkata pada portal Berita Harian menyatakan, berdasarkan maklum balas diterima pihaknya, keputusan dibuat kerajaan Arab Saudi sama ada menangguhkan haji atau sebaliknya belum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Buat masa ini, kerajaan Arab Saudi hanya menasihatkan bakal jemaah supaya menangguhkan dahulu rancangan untuk menunaikan haji tahun ini dan ia bukan keputusan muktamad, ia sekadar nasihat.

“Bagaimanapun, kita perlu menunggu keputusan rasmi berhubung perkara itu selewat-lewatnya Jun ini kerana buat masa ini, semua penerbangan tidak dibenarkan ke sana sehingga Jun ini. 

"Tetapi tempahan penerbangan untuk Julai dan seterusnya masih dibuka,” katanya lagi. - KitaReporters

13
3
1
0
0
You will be interested