Program
Kampung Angkat Madani yang diperkenal oleh kerajaan melalui Belanjawan 2025
sebenarnya bukan sekadar projek bina longkang atau tampal jalan.
Lebih daripada itu, ia adalah usaha untuk mengajak pemimpin dan agensi kerajaan “balik ke akar”, turun ke kampung dan melihat sendiri realiti kehidupan rakyat.

Ketua
Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop berkata, idea
ini datang daripada Perdana Menteri yang mahu ketua-ketua agensi persekutuan
memilih kampung angkat masing-masing supaya pembangunan yang dibuat benar-benar
menepati keperluan penduduk.
“Yang
penting dalam program ini ialah kita ingat asal usul kita. Bila turun sendiri
ke kampung, kita tahu apa masalah sebenar orang kampung,” katanya pada majlis
perluncuran dan penyerahan projek Kampung Angkat Madani di Kampung Sungai Mati,
Matang dekat Taiping pada 13 Disember 2025.
Sebanyak RM587,100 telah diperuntukkan bagi tujuh projek infrastruktur bagi kemudahan penduduk di Kampung Sungai Mati.
Antara projek yang dilaksanakan pada Oktober 2025 lalu dan siap pada awal Disember 2025 ialah pembinaan longkang konkrit menggantikan longkang parit tanah, dewan Surau Aziziah, penurapan jalan kampung dan sebagainya.


Menurut Ismail, bagi penduduk Kampung Sungai Mati, Program Kampung Angkat membawa harapan baharu -- bukan sahaja dari segi kemudahan, tetapi juga keyakinan bahawa suara mereka didengar dan kampung mereka tidak dilupakan.
Beliau turut
merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Unit Penyelarasan
Pelaksanaan (ICU), selain pejabat daerah yang bekerjasama bagi memastikan
projek berjalan lancar.
Bagi
penduduk kampung, katanya, pendekatan ini memberi rasa berbeza. Mereka bukan
sekadar menerima bantuan, sebaliknya turut terlibat secara langsung.
“Orang kampung dapat ‘hands-on’. Mereka rasa dihargai, bukan sekadar jadi pemerhati,” kata Ismail yang juga anak jati kampung itu.

Sebagai anak jati kampung berkenaan, beliau mengakui memahami selok-belok kehidupan di situ, namun menegaskan pemilihan kampung ini bukan soal kroni atau kepentingan peribadi.
“Saya anak
kampung sini. Saya tahu apa masalahnya. Kebaikan itu bermula dengan diri kita
dan orang yang dekat dengan kita,” ujarnya.
Selain itu,
Ismail berkata, isu banjir pula masih menjadi cabaran utama, terutama ketika
hujan lebat sehingga ada kawasan yang tidak boleh dilalui.
“Kadang-kadang orang luar tak nampak. Tapi bila hujan, air naik sampai tak boleh lalu. Ini perlukan kerjasama banyak agensi dan kajian jangka panjang,” katanya.
Sementara itu beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut terlibat, manakal pogram Jualan Rahmah dan perkhidmatan menukar minyak engin motosikal oleh GiatMara Bukit Gantang turut diadakan. - KitaReporters
