Islamic Relief memberi amaran bahawa penduduk Gaza, Palestin kini berdepan mimpi ngeri yang semakin buruk dengan kehadiran musim sejuk.
Hujan lebat pada 12 Disember 2025 telah membanjiri khemah dan tempat perlindungan dengan air serta limpahan najis.

Namun, ketika Ribut Byron semakin menghampiri, Israel terus menghalang bantuan kemanusiaan penting daripada sampai kepada penduduk yang terjejas.
Analisis baharu menunjukkan bahawa dalam tempoh dua bulan sejak gencatan senjata diumumkan, purata hanya 128 buah trak sehari yang berjaya masuk ke Gaza, jauh daripada jumlah 600 trak sehari yang dipersetujui.
Penduduk Gaza kini dibanjiri air dan mereka berdepan kelaparan sedangkan khemah baharu, ubat-ubatan dan bantuan musim sejuk masih tersekat hanya beberapa kilometer dari sempadan.
Krisis dijangka bertambah buruk jika Ribut Byron melanda Gaza dalam tempoh beberapa hari lagi, dengan hujan luar biasa yang boleh mengancam ratusan ribu nyawa.
Kanak-kanak dan warga emas berisiko tinggi mengalami hipotermia dan penyakit bawaan air yang berbahaya.
Kebanyakan rakyat Palestin kini ditempatkan dalam kawasan kecil yang sesak di Gaza.
Hampir semua infrastruktur rosak atau musnah, dan keluarga yang hilang tempat tinggal terpaksa bermalam dalam khemah nipis pada cuaca sejuk melampau, manakala yang lain tidur di atas runtuhan rumah mereka kerana tiada tempat lain untuk dituju.
Selepas berulang kali dipindahkan secara paksa, kebanyakan keluarga kehilangan hampir semua harta benda, dan banjir kini memusnahkan selimut, khemah, katil serta pakaian tebal yang tinggal.
Islamic Relief kini giat mengagihkan makanan kepada keluarga yang terjejas banjir dan bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk menyediakan pakaian musim sejuk, selimut dan bantuan lain kepada ribuan anak yatim serta kanak-kanak yang rentan.
Namun, bantuan yang diperlukan adalah jauh lebih besar. Dianggarkan 1.5 juta orang memerlukan bekalan perlindungan segera, menurut Shelter Cluster antara agensi.
Seorang petugas Islamic Relief di Gaza berkata: "Kami melihat jangkitan kulit dan penyakit merebak dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal dalam khemah yang dibanjiri najis, kerana sistem sanitasi Gaza telah musnah akibat pengeboman Israel.
"Situasinya sangat dahsyat dan jurang antara keperluan dan bantuan yang sampai adalah terlalu besar. Di tempat agihan, ribuan orang yang terdesak datang kepada kami, tetapi bekalan tidak cukup untuk semua yang memerlukan.
“Orang ramai masih kelaparan sehingga terpaksa makan makanan haiwan atau merebus tumbuhan liar kerana kekurangan makanan.
"Kekurangan bekalan perubatan pula menyebabkan kecederaan yang boleh dirawat menjadi punca kematian.
"Wanita hamil kekurangan zat dan terpaksa menjalani pembedahan caesarean tanpa bius.
"Kekurangan kit kebersihan dan air bersih menafikan maruah dan hak asas manusia, dan wanita di kem-kem memberitahu kami bahawa mereka tidak mempunyai tuala wanita atau sabun selama berbulan-bulan.”
Cuaca ekstrem kini menyukarkan lagi pergerakan penduduk dan operasi bantuan kemanusiaan.
Bantuan kemanusiaan adalah kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, namun walaupun dengan perjanjian gencatan senjata, Israel telah menolak atau menyekat puluhan permohonan NGO untuk membawa masuk bantuan ke Gaza.
Bantuan bernilai puluhan juta dolar masih tersimpan di gudang termasuk puluhan ribu khemah, bahan perlindungan dan bantuan musim sejuk, serta ubat-ubatan, makanan berkhasiat, pam kumbahan dan bekalan penting lain.
Dua bulan selepas gencatan senjata, pelanggaran terus berlaku setiap hari tanpa sebarang tindakan.
Israel masih meneruskan pengeboman dan serangan, membunuh lebih 376 rakyat Palestin dan mencederakan sekitar 1,000 orang sejak gencatan senjata diumumkan, selain memusnahkan lebih banyak rumah dan infrastruktur.
Semakin timbul kebimbangan bahawa gencatan senjata ini digunakan untuk mengukuhkan pendudukan haram Israel dan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.
Kerajaan antarabangsa mesti memastikan semua pihak bertanggungjawab terhadap pelanggaran perjanjian gencatan senjata.
Pemimpin dunia perlu segera menggunakan segala cara yang ada untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel bagi menjamin akses penuh dan bebas kepada bantuan kemanusiaan, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Siti Fadilah Mohd Hood.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), Siti Fadilah Mohd Hood berkata: “Keperitan yang dihadapi rakyat Gaza kini adalah derita nyata yang dirasai kanak-kanak yang menggigil kesejukan, ibu yang terpaksa menahan sakit melahirkan anak, bapa yang kehilangan tempat berteduh, dan warga emas yang tidak berdaya melawan cuaca ekstrem.
“Musim sejuk ini bukan pilihan, ia adalah ancaman yang mengancam nyawa mereka yang paling rentan.
"Kita sebagai umat manusia harus bangkit dan menunjukkan bahawa kita terus bersama mereka dan tidak berpaling daripada penderitaan saudara kita.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bersama membantu saudara-saudara kita di Gaza yang sedang bergelut menghadapi musim sejuk ini.
"Sokongan kepada Kempen Rayuan Musim Sejuk Islamic Relief Malaysia akan memastikan mereka menerima pakaian musim sejuk, selimut, tilam, pek makanan dan bantuan tunai yang amat mereka perlukan.”
Tahun 2025 ini, IR Malaysia menyasarkan sumbangan sebanyak RM300,000 sehingga 31 Disember 2025 ini melalui Kempen Rayuan Musim Sejuk bagi meringankan beban penduduk Gaza.
Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh mengunjungi www.islamic-relief.org.my atau menghubungi 03-8926 3434 bagi mendapatkan maklumat lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media
