Jika di Malaysia dan negara serantau, waktu solat berubah hanya beberapa minit sahaja setiap bulan, jauh berbeza pula situasinya di negara empat musim.
Bagi umat Islam di Asia Tenggara, perbezaan besar ini jarang disedari. Malah ramai pula yang teruja apabila mengetahui bahawa zuhur, asar, maghrib dan isyak boleh berlaku berselang hanya satu hingga dua jam sahaja ketika musim sejuk.
Fenomena ini menjadi perbualan hangat selepas seorang Muslim dari Kyrgyzstan, @elamanoz, berkongsi video berdurasi satu minit dalam TikTok menunjukkan jadual solat pada musim sejuk di negaranya.
Waktu solat menjadi pantas, seolah-olah tidak memberi ruang untuk ‘bernafas’ bagi mereka yang baru pertama kali melihatnya.
Video tersebut membuatkan ramai netizen Asia Tenggara ternganga sehinggakan ramai bertanya, ada yang bingung dan tidak kurang juga yang mula memahami bagaimana syariat Islam bergerak selari dengan putaran matahari.

Di negara tropika, perubahan waktu solat hanya melibatkan perbezaan kecil kerana matahari terbit dan terbenam dengan pola yang hampir stabil sepanjang tahun.
Namun, di kawasan hemisfera utara, musim sejuk membawa perubahan drastik, siang memendek dan malam memanjang.
Inilah yang menyebabkan zuhur boleh masuk seawal 11.30 pagi. Manakala asar menyusul sekitar 1.00 petang dan maghrib tiba seawal jam 3.00 petang. Isyak pada jam 5.00 petang dan subuh pula lewat, ada yang hampir jam 7.00 pagi.
Bagi mereka yang hidup di Malaysia dan Indonesia, perubahan sebegini sememangnya dianggap luar biasa.

Video elamanoz yang mencecah lebih 55,000 tanda suka itu telah membuka mata ramai pihak. Malah lebih mengejutkan, kebanyakan komen datangnya daripada netizen Asia Tenggara.
Mereka membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi, daripada yang tak percaya sehingga yang memberi penjelasan logik secara ringkas tetapi padat.
“Ini betul ke? Betul ke macam ni?” tanya salah seorang netizen dari Indonesia.

Ada seorang netizen memberikan penjelasan paling informatif apabila menerangkan bahawa waktu solat ditentukan oleh kedudukan matahari dan faktor geografi.
Menurutnya, apabila jam 4 petang sudah gelap, itu bererti waktu maghrib telah masuk dan musim salji menjadikan malam lebih panjang, manakala siang menjadi sangat pendek.
“Sebab waktu solat ikut matahari dan geografi. Bila jam 4 dah gelap, maksudnya memang maghrib. Musim salji buat malam jadi panjang, siang jadi sangat pendek,” jelasnya.

Fenomena ini sebenarnya berlaku sejak dahulu kala, namun tidak ramai mengetahuinya.
Hanya selepas wujudnya platform TikTok, X dan Instagram, lebih ramai umat Islam di negara tropika tersedar bahawa rakan seagama mereka di hemisfera utara menghadapi jadual ibadah yang sangat berbeza.
Malah, ada negara seperti Norway, Iceland dan
Finland yang mengalami keadaan lebih ekstrem seperti matahari tidak terbit langsung
selama beberapa hari menyebabkan umat Islam perlu menggunakan kaedah ijtihad
waktu solat berpandukan bandar terdekat yang mempunyai siang dan malam normal.
Namun, di sebalik rasa pelik dan tidak percaya, majoriti warganet Asia Tenggara menyambut fenomena ini dengan rasa kagum.
Ia telah membuka mata dan ruang pendidikan bahawa waktu solat tidak bergantung kepada jam di dinding tetapi kepada peredaran matahari yang telah ditetapkan Allah SWT. - KitaReporters
