Insan & Komuniti 13 Dec, 2025

Yang indah itu bahasa! Garis Panduan Bahasa Inklusif OKU CMCF dilancarkan! Komunikasi hormati OKU!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) telah melancarkan Garis Panduan Bahasa Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU), satu rujukan nasional yang dirangka untuk menyokong komunikasi yang lebih tepat, menghormati dan inklusif merentasi media, pelantar digital dan institusi awam.



Garis Panduan ini adalah susulan terhadap isu yang sekian lama diketengahkan oleh komuniti OKU serta penyokong mereka mengenai istilah dan gambaran ketidakupayaan yang berbahaya, tidak tepat dan bersifat ableis, serta kekurangan piawaian bahasa inklusif OKU yang konsisten dalam landskap pelbagai bahasa di Malaysia. 

Garis Panduan ini menyediakan cadangan praktikal kepada wartawan, pencipta kandungan, jenama, pendidik dan agensi awam mengenai penggunaan istilah yang mencerminkan maruah, keupayaan diri dan pengalaman sebenar.

Dibangunkan melalui proses kolaboratif yang diseliakan oleh CMCF dan dibentuk melalui input meluas daripada OKU sendiri, kumpulan advokasi, ahli bahasa serta pengamal industri, Garis Panduan ini merangkumi:

istilah lama atau berbahaya yang memesongkan pengalaman sebenar; 

  • stereotaip, ableis dan persepsi negatif yang mengukuhkan stigma;
  • naratif yang bersifat infantilisasi, sensasi atau berasaskan belas kasihan;
  • visual yang meminggirkan atau menggambarkan OKU secara salah; dan
  • isu-isu terkini seperti penerangan yang dijana oleh AI dan pelabelan kandungan digital.


Beatrice Leong


 

Garis Panduan ini telah diperhalusi melalui beberapa siri perbincangan dan semakan bersama pihak berkepentingan dalam komuniti OKU bagi memastikan ia selaras dengan konteks budaya Malaysia serta piawaian hak OKU pada peringkat global.

Beatrice Leong daripada Autism Inclusiveness Direct Action Group (AIDA), berkata: "Saya berasa teruja dengan maklum balas yang positif dan terbuka yang telah membentuk Garis Panduan ini. 

"Penerbitan ini merupakan langkah pertama yang penting ke arah representasi yang lebih baik serta penggunaan bahasa yang lebih bertanggungjawab. 

"Dengan rujukan ini, kita boleh memulakan usaha sebenar membina kandungan yang inklusif, saksama, dan mencerminkan komuniti yang disasarkan.”



Sementara itu, Penasihat Penglibatan Komuniti & Pengalaman Hidup di Rangkaian Solidariti Demokratik Pesakit Mental (SIUMAN), Hasbeemasputra Abu Bakar menyatakan: "Garis panduan inklusif OKU adalah langkah penting dalam menormalisasikan penyertaan OKU dalam masyarakat yang beraspirasi untuk mencapai kesaksamaan. 

"SIUMAN berharap garis panduan ini bukan sahaja dapat menggalakkan representasi yang autentik dalam media kita, tetapi juga meningkatkan penyertaan OKU yang lebih besar, supaya kita dapat membantu membentuk landskap media secara setara dengan yang lain.”

Ng Lai Thin, ahli The OKU Rights Matter Project, pula menambah:

"Pembangunan Garis Panduan ini menunjukkan bahawa kerjasama yang bermakna dengan komuniti OKU adalah tidak mustahil apabila proses ini boleh diakses. 

"Berlandaskan konteks budaya dan linguistik kita serta selaras dengan usaha hak OKU pada peringkat global, saya berharap ia akan menyumbang kepada perubahan positif dalam cara kita memperkatakan dan memahami OKU."



Bagi organisasi media, garis panduan ini menyediakan rujukan utama yang lebih fokus dan berpusat, yang dapat menyokong polisi bilik berita serta mempromosikan laporan yang lebih bertanggungjawab. 

Bagi pencipta kandungan dan syarikat, garis panduan ini memberikan panduan mengenai penggunaan bahasa yang menghindari stigma dan mempromosikan representasi yang adil serta gambaran yang tepat mengenai OKU. 

Bagi pembuat dasar dan institusi awam, ia menyediakan satu asas bersama yang dapat meningkatkan tahap inklusiviti, kepekaan, dan ketepatan komunikasi awam.



Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif CMCF berkata, “Usaha ini membuktikan bahawa banyak perkara boleh dicapai apabila komuniti OKU dan pihak berkepentingan mereka, industri serta kumpulan advokasi bekerjasama. 

"Bahasa yang jelas dan menghormati membantu meruntuhkan stigma serta membuka pintu bagi OKU untuk diwakili sebagaimana mereka sebenarnya: penyumbang, pemimpin, dan peserta yang setara dalam kisah kebangsaan kita.” - KitaReporters/Kenyataan Media

10
7
0
17
0
You will be interested