Insan & Komuniti 07 Jun, 2025

Diari Mama Masscom| Video| Tak kenal maka tak cinta! Terima kasih Zakat Selangor! Sudi santuni kami!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

.


Hidup ini ibarat roda, maka tak sentiasa di atas. Adakalanya kita di bawah dan diuji dengan pelbagai masalah hidup. 

Apabila hidup diduga dengan ujian kesihatan dan kewangan, barulah kita sedar betapa pentingnya sokongan daripada semua pihak, termasuklah institusi zakat yang sering disalah anggap hanya membantu asnaf atau golongan fakir miskin serta tidak cakna pada masalah masyarakat yang lain. 

Peranan pusat atau lembaga zakat sangat luas tetapi malangnya sering dipandang sebagai sebuah institusi yang rigid dan sukar membantu. Stigma ini yang membuat masyarakat sering berfikiran negatif terhadap institusi yang berperanan membantu dan mengubah kehidupan masyarakat. 



Baru-baru ini, saya dan suami menerima kunjungan daripada wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhammad Sharil Ritin, Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling, yang datang menyantuni saya dan suami yang sakit strok dan terlantar di rumah kami di Shah Alam. Beliau dan dua lagi wakil LZS datang berkunjung ke rumah saya dengan menghulurkan bantuan sumbangan kecemasan sebanyak RM500 bagi membeli susu dan lampin pakai buang untuk suami saya, Mohd Zaini Sayuti, 70 tahun, yg telah mengalami strok sejak 8 tahun lalu.

Bantuan ini hadir tidak lama selepas rencana saya mengenai isu pencarum PERKESO yang tidak lagi dilindungi selepas usia 60 tahun disiarkan di portal Online Kitareporters. 

(Diari Mama Masscom| Malang kalau sakit selepas usia 60 tahun! Skim PERKESO dah terhenti! Tolong kami!)

Saya sangat terharu, LZS membaca, menyantuni dan bertindak dengan pantas. 

Itu yang sangat menyentuh hati saya sebagai seorang isteri dan penjaga kepada suami yang sakit strok dan anak sulung yang sakit mental sejak 19 tahun lalu. 

Selama ini saya tidak pernah "letak harapan" kepada pusat zakat dalam senarai bantuan kerana seringkali mendapat "feedback" buruk daripada rakan-rakan bahawa orang macam saya paling sukar mendapat bentuan zakat kerana saya ada pencen dan anak-anak banyak membantu. Tapi sebenarnya, saya silap tafsir. 


Muhammad Sharil Ritin (berdiri, tengah) dan Md Ammar Fakhrullah Sharuddin, Eksekutif Operasi Agihan Daerah Petaling (kanan) menyampaikan sumbangan kepada suami penulis.


Ramai yang tidak tahu bahawa kos menjaga orang sakit sangat tinggi, terutama untuk membeli peralatan kesihatan mereka serta barangan lain seperti pampers (lampin pakai buang) dan susu yang memang mahal harganya. 

Selain itu pesakit yang terlantar perlu bantuan untuk diangkat dan diurus oleh orang lain jika penjaganya seperti saya juga telah melewati usia warga emas.  

Penjagaan mereka juga sangat rumit dan meletihkan. Adakalanya terpaksa membayar jururawat harian dan fisioterapis untuk mengurus dan mengendalikan mereka.  

Apa pun saya sangat bersyukur mendapat perhatian pihak zakat yang menyuruh saya mengisi borang online untuk bantuan kesihatan seperti lampin pakai buang dan susu. 

Ini yang saya katakan perencanaan Alllah itu lebih baik daripada perencanaan kita. Minta pada yang lain, pihak lain pula yang menyantuni kita. 

Benarlah semua ini rezeki daripada Allah. Dia yang tentukan pihak mana yang akan menyalurkan rezeki Allah itu.



Peribahasa Melayu ada menyebut: Tak kenal, maka tak cinta! Begitulah kisah cinta masyarakat dengan LZS. Kerana dalam bercerita mengenai peranan zakat, ramai masyarakat mungkin belum tahu bahawa bantuan zakat sebenarnya sangat luas skopnya. 

Selain bantuan kewangan kepada asnaf, LZS juga menyediakan bantuan perubatan, peralatan kesihatan, pendidikan, kecemasan dan pelbagai lagi bentuk sokongan kepada mereka yang memerlukan dan layak, tanpa mengira usia mahupun latar belakang. 

Ini sesuatu yang perlu diberitahu dan diuar-uarkan pada masyarakat kerana selama ini kita hanya dimomokkan dengan perkara negatif tentang zakat dan kita tidak ditularkan tentang bantuan dan skop luas zakat yang dapat dimanafaatkan bersama oleh masyarakat. 

Oleh demikian saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor, khususnya pihak agihan daerah Petaling, atas keprihatinan yang amat besar ini. 

Semoga Allah memberkati setiap sen zakat yang dikutip dan diagihkan kepada penerima yang layak. 

Bagi penulis ini bukan sekadar bantuan kewangan, tapi langkah terbaik LZS untuk terus dikenali sebagai sebuah institusi yang prihatin dan sentiasa dekat di hati masyarakat. - KitaReporters

13
13
1
10
0
You will be interested