
Kadangkala sesuatu yang akan terjadi tidak ada petanda. 8 tahun lalu. Suami saya yang sihat, tiba-tiba tidak boleh menggerakkan angota tubuh badannya. Suami saya, bekas kakitangan NSTP yang telah bersara, disahkan mengalami strok. Ketika itu usianya 62 tahun.
Sebagai isteri dan penjaga, saya berikhtiar macam-macam cara untuk mengubatinya. Tahun 2019 sebagai pesakit stroke yang belum stabil, beliau terjatuh dan patah pinggulnya. Beliau dimasukkan ke Hospital Rehab Cheras selama sebulan.
Di situ ada yang memberi cadangan agar saya minta bantuan PERKESO. Ini kerana sewaktu bekerja dgn NSTP selama 30 tahun, suami mencarum di PERKESO.
Sepanjang bekerja beliau tidak pernah sakit atau masuk hospital. Rekod kesihatannya sangat cantik.
Saya mendapat tahu daripada staf yang menguruskan bantuan PERKESO di hospital Rehab Cheras bahawa suami saya tidak layak mendapat bantuan kerana sudah melebihi had umur 60 tahun sewaktu diserang strok.
Ini bermakna suami saya dia tidak lagi dilindungi di bawah Skim Keilatan PERKESO. Saya teruskan hidup bersama suami yang OKU menggunakan duit simpanan yang ada.

Suami penulis dikejarkan ke hospital UiTM Puncak Alam kerana diserang strok kali kedua pada Februari 2025.
Namun setelah 8 tahun suami sakit strok, pada Februari 2025, suami diserang strok kali kedua sehingga menjadikan dia terlantar.
Setelah 8 tahun menjaga suami yang sakit strok ditambah dengan masalah anak sulung yang mengalami sakit mental sejak 19 tahun lalu, kedudukan kewangan kami sangat terjejas.
Seorang rakan yang juga bekas kakitangan NSTP dan beliau antara penerima pencen ilat menyuruh saya bertanya mengenai skim berkenaan kepada pihak PERKESO. Ini agar kami boleh mendapat sedikit bantuan.
Namun apabila saya bertanya pada seorang staf PERKESO, jawapannya tetap sama iaitu suami sudah berusia lebih 60 ketika mendapat strok. PERKESO tidak melindungi pekerja yang sudah pencen. Sekarang umur suami sudah 70 tahun.
Saya agak keliru sebab dalam fikiran saya bagaimana mungkin seseorang yang pernah mencarum sepanjang kerjaya, tiba-tiba tidak boleh memohon bantuan hanya kerana umur?

Saya membuat sedikit kajian dan mendapatkan maklumat mengenai beberapa peraturan PERKESO dalam perlindungan keilatan.
Ini antara fakta dan maklumat yang saya dapat tentang skim keilatan PERKESO:
1. Skim Keilatan PERKESO diwujudkan bagi melindungi pekerja yang mengalami hilang upaya kekal atau meninggal dunia akibat keilatan yang bukan berpunca daripada kemalangan kerja.
2. Skim ini hanya melindungi pencarum sebelum mereka mencecah usia 60 tahun. Jika seseorang itu disahkan ilat selepas umur tersebut, walaupun sebelum itu dia aktif mencarum – dia tidak lagi layak menerima faedah keilatan.
3. Peraturan ini dilaksanakan selaras dengan Akta Umur Persaraan Minimum 2012, yang menetapkan umur persaraan wajib di Malaysia ialah 60 tahun.
Sedikit Statistik Pencarum & Faedah PERKESO yang dapat saya kumpul melalui carian saya:
Menurut data PERKESO, sehingga suku pertama 2024, jumlah pencarum berdaftar bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) melonjak hampir enam kali ganda, mencatatkan peningkatan sebanyak 474% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (2023).
Pada tahun 2024, PERKESO telah membayar faedah berjumlah RM5.82 bilion kepada para pencarum, termasuk lebih 19,000 pencarum yang menerima manfaat kemudahan dialisis.
Tapi, apabila difikirkan penyakit datang tak kira usia. Saya secara peribadi berpendapat sistem ini dilihat seperti tidak adil. Bila seseorang bersara, risiko kesihatan sebenarnya semakin meningkat kerana faktor usia.
Dalam erti kata lain, waktu perlindungan kesihatan paling diperlukan iaitu pada usia lebih 60 tahun, malangnya skim ini tidak lagi menyokong.
Bagaimana pun, bagi yang terus bekerja selepas umur 60 dalam sektor formal, mereka masih dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja, tetapi bukan Skim Keilatan. Kalau sudah berhenti kerja dan jatuh sakit atau uzur, mereka tidak lagi termasuk dalam mana-mana perlindungan PERKESO.
Namun sesuatu yang agak melegakan dari jawapan PERKESO sewaktu saya menghubungi mereka ialah, mereka cuba bantu saya dengan cara yang lain iaitu menghantar kes suami pada team Sosial Sinergi PERKESO termasuk Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Namun apa yang saya faham ini semua bukan lagi di bawah skim rasmi PERKESO, sebaliknya lebih kepada bantuan alternatif atau ihsan luar.

Oleh itu untuk polisi yang lebih inklusif atau terangkum, sebagai rakyat biasa yang berdepan situasi ini, saya ingin mencadangkan agar:
1. PERKESO wujudkan skim sukarela tambahan selepas bersara, agar pencarum boleh terus menyumbang dan dilindungi selepas umur 60 tahun.
2. Wujudkan dana khas untuk warga emas, iaitu pencarum lama yang menghadapi hilang upaya atau penyakit kronik selepas bersara.
3. Beri pendidikan & pendedahan awam tentang had perlindungan umur supaya rakyat boleh merancang lebih awal.
Secara amnya, saya berpendapat skim ini tidak patut ada tarikh luput. Terfikir saya apa gunanya kita mencarum bertahun-tahun, kalau pada saat kita jatuh dan mengalami penyakit yang kronik skim ini tidak membantu kita.
Ada antara pencarum tidak pernah sakit sepanjang bekerja, malangnya apabila mula bersara mereka mengalami komplikasi kesihatan yang teruk. Memang di sini nampak sedikit tidak adil dengan skim berkenaan.
Warga emas yang pernah menyumbang kepada ekonomi negara berhak dilindungi dengan lebih adil. Skim yang dibuat oleh PERKESO ini tidak patut ada tarikh luput. Ia harus melindungi semua tak kira usia.
Warga emas bukan beban. Mereka adalah tulang belakang yang pernah menyumbang, mencurah tenaga, dan membina negara suatu ketika dulu. Apabila mereka jatuh sakit atau ditimpa keilatan selepas umur 60 tahun, seharusnya ada satu bentuk jaringan sokongan dan bantuan yang dapat meringankan beban mereka.
Apa pun memang tidak dinafikan PERKESO telah banyak berjasa, dan rakyat sangat menghargainya. Ramai telah mendapat manafaat daripada PERKESO. Itu sumbangan terbaik PERKESO pada masyarakat khususnya pekerja.
Namun kini tiba masanya untuk melihat semula ruang yang tercicir dalam penggubalan akta dan peraturan yang dibuat oleh PERKESO. Saya yakin polisi yang adil ialah polisi yang berkembang bersama perubahan demografi dan realiti umur yang meningkat. - KitaReporters