Gambar hiasan... Mangsa alami kecederaan di bahagian perut setelah rakannya terlepas tembakan
SEORANG pengawal peribadi ditahan oleh polis setelah dipercayai tertembak rakannya sendiri dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang pada 19 April 2021 di tepi sungai Jalan Swee Lee, Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata terdahulu pengawal peribadi berumur 33 tahun itu sedang minum bersama mangsa yang bekerja sebagai penjaga kambing, 23, serta dua lagi rakan mereka.
"Pengawal peribadi yang bekerja di sebuah syarikat keselamatan di Kuala Lumpur bertemu tiga rakannya termasuk mangsa untuk upacara sembahyang kematian seorang rakan mereka.
"Dalam pertemuan itu, lelaki berkenaan telah keluarkan kelopak pistol tanpa menyedari masih terdapat sebutir peluru di dalam chamber. Dia kemudian menarik picu pistol menyebabkannya meletup.
"Akibat daripada itu, mangsa yang berdiri lebih kurang satu meter di hadapannya mengalami kecederaan pada bahagian perut dan telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dapatkan rawatan," katanya dipetik Sinar Harian, Selasa, 20 April 2021.
Katanya lagi, bagi menyembunyikan kes tersebut pengawal peribadi itu melepaskan satu tembakan ke dalam beg sandangnya untuk reka cerita yang kononnya pistol itu meletup sendiri.
"Polis telah merampas senjata berkenaan bersama kelopak berisi lapan peluru, satu pistol dan sebutir kelongsong. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960," ujarnya. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter