SELEPAS tular kehidupan seorang pesara guru yang tinggal di kediaman yang dipenuhi sampah sarap yang menggunung di luar rumahnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalankan operasi pembersihan di rumah berkenaan baru-baru ini. Harap-harap cikgu itu tak kumpul semula sampah-sampah baharu!! : KitaReporters
(Cerita awal: Hidup ditimbuni sampah sarap! Tapi anggap ada nilai ekonomi!)
Mengambil masa lebih empat jam bermula pukul 7.30 pagi semalam, Ahad 11 Oktober 2020, jumlah sampah yang dikeluarkan dari rumah Chung Sook Khuan, 63, atau dikenali Cikgu Chung itu adalah dianggarkan seberat 4.8 tan.
Aduhai.... betul-betul penat abang-abang MBI kalau begitu punya banyak sampah!
Dalam operasi tersebut, lima buah lori dan jentera digunakan bagi kerja-kerja pembersihan di rumah yang terletak di Taman Bersatu, Simpang Pulai di Ipoh itu.
Kerja-kerja pembersihan itu semestinya memberi kegembiraan kepada jiran-jiran di kawasan perumahan tersebut yang selama ini 'makan hati' dengan hobi pelik Cikgu Chung.
Menurut mereka, tindakan mengutip dan mengumpul barang terbuang itu bukan sahaja menyebabkan bau busuk dan pencemaran malah dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan berbisa.
Bagaimanapun dari satu sudut, Cikgu Chung yang memakai pelitup muka dan cermin mata hitam hanya duduk di tembok batu sambil memandang sayu barang buangan yang telah dikumpulnya sekian lama.
"Semua barang itu boleh jual, kenapa mahu buang? Sayang semua barang ni," kata Cikgu Chung.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, wanita itu dinasihatkan agar tidak mengulangi 'hobi' mengumpul barang terbuang dan berdepan tindakan sekiranya masih melakukan perbuatan serupa.
Katanya, pemeriksaan secara berkala juga akan dilakukan pihak MBI di kawasan tersebut.
"Saya telah beritahu Cikgu Chung jangan lagi mengumpul barang dan membawa balik ke rumah. Jika masih lagi berlaku perkara sama, pihak MBI akan mengambil tindakan di bawah bidang kuasa mereka.
"Pendekatan yang kita ambil dalam menangani kes ini juga cukup berhemah dengan menasihati terlebih dahulu sebelum disusuli kaunseling dalam masa terdekat," katanya. - KitaReporters