Seni & Sukan 24 Jan, 2022

Sultan Selangor dukacita! Penjawat awam perlu integriti, dedikasi, jujur! Contohi Ambrin Buang!

@news editor 2
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com

Share this


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku From AS to AG - Reminiscence of a PTD Officer hasil karya bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada 20 Januari 2022 lalu.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ambrin atas penghasilan buku berkenaan yang berkisarkan pengalaman sepanjang 46 tahun bertugas dalam perkhidmatan awam.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sultan Selangor




“Pengalaman beliau begitu lama dalam perkhidmatan awam bermula dari kariernya sebagai Penolong Setiausaha sehinggalah menjawat jawatan Ketua Audit Negara.

“Beta percaya pegawai-pegawai muda khususnya pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) boleh mendapat manfaat daripada pengalaman yang dikongsikan oleh beliau dalam buku ini.

“Sebagai seorang Pegawai PTD, beliau telah berkhidmat dengan cemerlang pada peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dalam berbagai-bagai kapasiti. Perkhidmatan diberikan baik dan cemerlang sepanjang memegang jawatan,” titah baginda.


Ambrin sewaktu menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Buku From AS to AG - Reminiscence of a PTD Officer hasil tulisannya.



Baginda bertitah, Ambrin merupakan Ketua Audit Negara yang paling lama berkhidmat iaitu selama 11 tahun.

“Beta berterima kasih di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan beliau terutama ketika berkhidmat di Negeri Selangor.

“Kesempatan ini juga beta ingin menasihati pegawai-pegawai perkhidmatan awam sedang berkhidmat dan baharu memulakan karier sebagai seorang penjawat awam untuk mencontohi pegawai-pegawai perkhidmatan awam seangkatan dengan Ambrin.

“Pegawai-pegawai perkhidmatan awam ketika itu mempunyai segala ciri-ciri diperlukan iaitu sifat-sifat integriti tinggi, berdedikasi, jujur dan ikhlas dalam melaksanakan segala tugas serta amanah.  

“Beta dukacita kerana segala sifat dimiliki pegawai-pegawai perkhidmatan awam dahulu telah merosot jika dibandingkan dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam sejak kebelakangan ini,” titah Baginda.

Gambar kenangan… Tan Sri Ambrin sewaktu sesi bersama Media Laporan Ketua Audit Negara di Auditorium JPA pada tahun 2016.  - Kredit foto: Bernama


Sultan Selangor turut mengingatkan warga perkhidmatan awam di Negeri Selangor agar menjalankan tugas dengan amanah, menjauhi amalan-amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta sentiasa peka kepada masalah dihadapi rakyat

Titah Baginda lagi, terhasilnya buku hasil karya Ambrin itu diharapkan lebih ramai pegawai perkhidmatan awam tampil melahirkan buku-buku ilmiah dan buku-buku yang menceritakan pengalaman sepanjang perkhidmatan mereka. 

“Beta menggalakkan agar budaya suka menulis buku ini ditanamkan pada fikiran setiap pegawai perkhidmatan awam agar buku-buku dihasilkan ini dapat menyumbang kepada penambahan khazanah ilmu di negara ini khususnya di Negeri Selangor,” titah baginda. 

Untuk makluman, buku From AS to AG - Reminiscence of a PTD Officer karya Ambrin diterbitkan oleh Humanology Sdn Bhd, sebuah entiti terlibat dalam kepakaran berhubung kecerdasan, perekonomian serta pengamatan perilaku manusia di samping menganjur aktiviti serta acara latihan dan pembangunan serta pembentukan pemimpin masa depan. - KitaReporters


15
9
0
10
0
You will be interested