Seni & Sukan 14 Feb, 2026

Ya Raya dah tiba? Bella Astillah hidupkan awal semangat Syawal! Gabungkan elemen muzik, gaya hidup!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Industri muzik tempatan menyambut musim perayaan dengan pendekatan lebih segar apabila single raya terbaharu Bella Astillah, “Ya Raya”, dilancarkan sebagai sebahagian daripada kolaborasi yang menggabungkan elemen muzik dan gaya hidup. 


 


Projek ini bukan sekadar memperkenal lagu baharu sempena Hari Raya Aidilfitri, malah menjadi platform yang menyatukan emosi perayaan, identiti artis serta pendekatan jenama tempatan dalam mendekati pengguna.

Karya yang diterbitkan di bawah label Universal Music Malaysia ini menyaksikan kolaborasi kreatif antara penulis lirik Rudeen serta komposer Exactesy, yang mempertaruh gabungan elemen muzik moden dan tradisional bagi mengekalkan jiwa perayaan yang dekat di hati pendengar.

Hadir dengan mesej keceriaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan, “Ya Raya” mengetengahkan keindahan momen bersama keluarga dan insan tersayang ketika Syawal. 



Bella Astillah berkata, hubungan emosinya dengan lagu ini terjalin sejak kali pertama mendengar demo kerana ia menggambarkan suasana raya yang dirasainya setiap tahun.

“Bila pertama kali dengar demo Ya Raya saya terus rasa dia sangat positif dan menggambarkan suasana raya yang saya sendiri rasa. Setiap tahun kita beraya dalam suasana berbeza, kadang di kampung, kadang di bandar. 

“Lagu ni rasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan nak meraikan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. 

"Ada elemen ceria yang buat orang rasa nak senyum bila dengar. Memang kena dengan mood raya,” kata Bella ketika ditemui pada majlis pelancaran ‘Ya Raya” yang berlangsung pada 11 Februari 2026 di Kuala Lumpur.

Turut hadir antaranya Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysa, Hermond Cheng (tiga dari kanan)  dan Ketua Pegawai Eksekutif Fipper, Jee Von (tiga dari kiri).


Walaupun kedengaran ceria dan penuh tenaga, proses penghasilan lagu ini tidak hadir tanpa cabaran apabila Bella terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan semasa sesi rakaman dijalankan.

“Cabaran utama masa rakaman adalah nak kekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal tanpa kedengaran dibuat-buat, sebab masa recording Bella sebenarnya demam dan kurang sihat. 

"Tapi Bella paling enjoy part chorus sebab sangat catchy. Dalam studio pun semua orang ikut nyanyi sekali,” kenangnya.

Keistimewaan “Ya Raya” turut terletak pada keseimbangan bunyi klasik dan kontemporari yang menjadikannya relevan dengan pendengar masa kini.

“Saya rasa Ya Raya ada gabungan elemen moden dan tradisional. Masih ada rasa raya yang kita kenal tapi dengan susunan muzik yang lebih fresh dan sesuai dengan pendengar sekarang. 

"Lagu ni lebih kepada vibe meraikan momen kecil bersama orang tersayang, bukan hanya suasana besar perayaan,” tambah Bella.

Pendekatan ini dilihat selari dengan trend lagu raya moden yang menekankan nilai emosi dan pengalaman peribadi pendengar.




Pelancaran lagu ini turut diperkukuh melalui kolaborasi strategik bersama jenama selipar terkenal, Fipper waima kerjasama ini dilihat sebagai satu evolusi gaya hidup yang menggabungkan muzik dengan elemen keselesaan harian.

“Bagi saya, raya bukan sekadar muzik atau fashion sahaja, tapi keseluruhan gaya hidup, cara kita berjumpa orang, menikmati perjalanan balik kampung. 

"Kolaborasi dengan Fipper sangat seronok kerana ia melambangkan keselesaan dan gaya santai raya. Bila muzik dan gaya hidup digabungkan melalui kempen ini, saya rasa sangat menarik dan dekat dengan kehidupan seharian peminat, terutama  masa raya,” cerita Bella yang sentiasa mengukirkan senyuman.

Menurt Jee Von, Fipper memilih Bella sebagai wajah kempen kerana imejnya yang autentik dan positif, selari dengan identiti jenama yang meraikan keaslian, keselesaan dan gaya hidup rakyat tempatan. 

Lagu “Ya Raya” pula dipilih kerana ia membawa emosi, nostalgia dan kegembiraan Aidilfitri, menjadikan muzik sebagai medium yang menghubungkan jenama dengan pengguna secara lebih bermakna.

Melalui projek ini, Fipper juga melihat muzik sebagai bahasa universal yang mampu mencipta kenangan dan membina hubungan emosi, terutama dalam kalangan generasi muda yang menjadikan muzik sebahagian daripada identiti dan gaya hidup mereka. 





Sementara itu, pihak Universal Music Malaysia menjelaskan bahawa pemilihan lagu dan artis dibuat secara teliti oleh pasukan A&R dengan menilai beberapa demo berdasarkan kekuatan melodi, lirik dan potensi komersial agar benar-benar menjiwai semangat raya. 

Bella Astillah dipilih kerana imejnya yang positif, kekuatan vokal serta hubungan erat dengan peminat.

Malah menurut mereka, kolaborasi bersama Fipper juga dilihat sebagai satu pendekatan yang organik, dengan penekanan untuk menghasilkan lagu raya yang tulen, mudah melekat di ingatan dan dekat di hati pendengar tanpa elemen penjenamaan yang terlalu menonjol. waima kerjasama ini, sekali gus memperkukuh hubungan antara jenama dan industri muzik tempatan.

Pada penghujung majlis, Bella Astillah menyuarakan harapannya agar “Ya Raya” dapat menjadi lagu yang menemani detik-detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma. 

“Mesej paling simple adalah untuk hargai masa bersama orang yang kita sayang. Raya datang setahun sekali, jadi gunakan masa ni untuk memaafkan, bersyukur dan cipta kenangan indah. 

"Semoga Ya Raya boleh jadi lagu yang menemani momen bahagia, bukan sahaja tahun ini (2026) tapi tahun-tahun akan datang,” akhiri teman mesra kepada ahli politik muda, Syed Saddiq ini. - KitaReporters.

9
12
0
14
0
You will be interested