Salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap Ramadan masih wujud apabila ada yang beranggapan bulan tersebut satu-satunya waktu untuk beribadah, sedangkan hakikatnya ibadah dituntut sepanjang tahun.
Perkara itu disentuh oleh penyampai Radio Molek FM,
Mat Dan, selepas dia berkongsi kefahaman yang diperoleh daripada ceramah yang
disampaikan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Menurut Mat Dan, ramai yang tersalah konsep apabila
menganggap Ramadan sebagai bulan khas untuk melakukan sesuatu ibadah tertentu,
sedangkan amalan seperti sedekah, membaca al-Quran dan ke masjid sepatutnya
dilakukan sepanjang tahun.
“Baru lepas tengok video Ustaz Azhar. Dalam video itu, ustaz ada buat sesi soal jawab. Ada orang bertanya, ‘Ustaz, bulan Ramadan ni apa amalan pertama?

"Ustaz pun jawab, “Begini, bulan Ramadan sebenarnya bukan bulan sedekah semata-mata, sebab bulan sedekah itu bulan-bulan lain juga.
“Ramadan juga bukan bulan baca al-Quran sahaja, kerana membaca al-Quran itu memang amalan pada bulan lain. Pergi masjid tiap-tiap waktu pun bukan khusus Ramadan sahaja, itu memang amalan sepanjang tahun.
"Jadi, apa istimewanya Ramadan? Ramadan adalah bulan untuk kita tambah semua ‘poin’ amalan itu. Faham tak?
“Kita tambah amalan kita, kita gandakan sedekah kita dan kita perbanyak ke masjid. Bukan bermaksud amalan itu hanya dibuat pada bulan Ramadan sahaja, kemudian ditinggalkan pada bulan-bulan lain.
"Sebaliknya, Ramadan adalah bulan untuk kita menambah dan mempertingkat semua amalan yang sudah kita lakukan sepanjang tahun,” katanya dalam video yang dikongsi.

Penjelasan tersebut membawa maksud bahawa Ramadan bukanlah bulan untuk memulakan ibadah secara bermusim, tetapi bulan untuk mengganda dan mempertingkat amalan yang sudah menjadi rutin harian seorang Muslim.
Jika pada bulan biasa seseorang bersedekah, maka Ramadan adalah masa untuk menambah jumlah dan kekerapan sedekah.
Jika pada bulan biasa membaca al-Quran beberapa ayat, maka Ramadan menjadi peluang untuk membaca dengan lebih konsisten atau mengkhatamkan al-Quran.
Jika sebelum ini ke masjid sekali-sekala, Ramadan menggalakkan untuk hadir lebih kerap.
Konsep inilah yang cuba diperbetul bahawa bulan-bulan lain tetap bulan ibadah. Ramadan hanyalah bulan bonus ganjaran yang melipatgandakan pahala.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.
“Terima kasih Mat Dan. Betullah tu. Salah konsep selama ni,” tulis seorang netizen yang mengakui sebelum ini kurang jelas tentang peranan sebenar Ramadan.
“Terima kasih Mat Dan. Bertambah lagi ilmu.
Alhamdulillah,” komen seorang lagi.
Manakala seorang lagi netizen turut menyuarakan pandangan lebih mendalam.
“Dia lebih ambil tahu dan nak tahu erti tentang bulan Ramadan berbanding sebahagian orang kita yang terlalu sibuk membeli-belah nak beraya tak habis-habis. Terbaik Mat Dan,” tulisnya.

Perkongsian Mat Dan itu secara tidak langsung
menjadi peringatan bahawa kejayaan sebenar Ramadan bukan sekadar berpuasa,
tetapi sejauh mana peningkatan amalan berlaku berbanding bulan-bulan
sebelumnya.
Ramadan adalah bulan untuk menambah ‘poin’ ibadah, bukan bulan untuk mengehadkan ibadah hanya dalam tempoh 30 hari.
Umat Islam disaran mengambil peluang untuk menggandakan amalan dan memastikan peningkatan tersebut dapat diteruskan walaupun selepas Syawal menjelma. - KitaReporters