Seni & Sukan 02 Mar, 2026

Video| Pecah tradisi! Rakam MV raya di luar negara! Syamel & Ernie bawa Suasana Raya ke Hong Kong!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Pada saat kebanyakan lagu raya sering kali bernostalgia dengan suasana kampung halaman dan tradisi desa, pasangan sejoli industri muzik tanah air, Ernie Zakri dan Syamel, mencetuskan kelainan apabila memilih untuk merakamkan naskhah terbaharu mereka, “Suasana Raya,” jauh di bumi Hong Kong. 



Langkah ini menjadikan single tersebut antara lagu raya yang paling unik tahun ini kerana ia memecah tradisi visual biasa dengan mengangkat pesona sebuah kota metropolitan antarabangsa sebagai latar utama sambutan Aidilfitri.

Kolaborasi berprestij bersama Hong Kong Tourism Board ini membawa dimensi visual yang segar dan moden kepada industri muzik tempatan. 

Menerusi paparan video muzik tersebut, peminat disajikan dengan keindahan destinasi mesra Muslim di sekitar Hong Kong yang jarang diterokai, sekali gus membuktikan bahawa kemeriahan Syawal boleh dirasai di mana-mana sahaja di segenap pelosok dunia. 

Ernie Zakri menjelaskan bahawa pemilihan lokasi tersebut adalah sangat tepat dengan konsep lagu dan video muzik ini memandangkan Hong Kong menawarkan pelbagai kemudahan buat pelancong beragama Islam.

“Hong Kong sangat sesuai kerana ia Muslim-friendly dan memudahkan kami mencari pelbagai pilihan makanan halal, antaranya di Islamic Centre Canteen. Kami juga berpeluang melawat tempat ibadah seperti Kowloon Mosque. 

"Selain itu, terdapat banyak tarikan pelancongan mesra keluarga seperti Ocean Park, dan ia menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna apabila kami dapat menjalani penggambaran sambil meluangkan masa bersama keluarga di sana,” ujarnya ketika ditemui pada majlis persembahan lagu ‘Suasana Raya’ bersama suaminya, Syamel di IOI City Mall, Putrajaya pada 27 Februari 2026 lalu.



Turut hadir wakil-wakil daripada Universal Music Malaysia (gambar atas) dan Hong Kong Tourism Board.


Selain menonjolkan sisi urban yang dinamik, penggambaran ini turut merakamkan momen peribadi yang menyentuh hati apabila pasangan ini membawa anak mereka, Khawla, ke destinasi mesra keluarga seperti Ocean Park. 

Syamel menyifatkan proses rakaman kali ini bukan sekadar tuntutan kerja, malah merupakan satu percutian keluarga yang penuh makna yang diterjemahkan ke dalam setiap babak video muzik tersebut. 

Kehadiran elemen kekeluargaan yang asli ini memberikan nyawa kepada lirik lagu yang menekankan tentang ketenangan, kesyukuran, dan kebersamaan pada pagi raya.

“Suasana di Hong Kong sangat meriah dan penuh warna, dan kami mahu peminat merasai vibe yang sama melalui 'Suasana Raya'

"Budaya dan persekitaran di sana memberikan elemen visual yang moden dan unik, selari dengan lagu ini yang menggabungkan elemen raya tradisional dan moden,” tambah Syamel.



Dari sudut teknikal, lagu ini mengekalkan kehebatan vokal kedua-dua penyanyi tersebut, namun dalam nada yang lebih santai dan catchy

Keserasian mereka yang telah lama terjalin turut membantu menghasilkan penyampaian yang lebih semula jadi dan ikhlas. 

Menurut Syamel, kekuatan utama lagu ini terletak pada melodinya yang catchy dan cukup sinonim dengan kemeriahan suasana perayaan. 

"Suasana Raya sangat catchy dan memang kena dengan mood hari raya. Ia adalah lagu yang sesuai didengarkan ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya. 

Syamel turut menambah bahawa menyampaikan lagu yang ceria juga memerlukan emosi yang jujur agar kegembiraan itu benar-benar sampai kepada pendengar. 

“Kami mahu pendengar rasa kegembiraan itu. Sepanjang proses rakaman, kami sentiasa menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya emosi tersebut dapat disampaikan dengan lebih ikhlas.” tambahnya.



Berkongsi mengenai pengalaman penggambaran video muzik (MV) pula, Syamel menyifatkan ia sebagai satu memori yang sangat bermakna buat mereka sekeluarga.

“Rakaman MV ini terasa seperti kami sedang bercuti sekeluarga, sebab kami dapat bawa Khawla bersama ke set penggambaran dan ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Hong Kong. 

"Ia bukan sekadar penggambaran, tetapi satu pengalaman indah yang kami dapat kongsi sebagai sebuah keluarga,” jelas beliau.

Kedua-dua artis berharap agar lagu ini akan menjadi salah satu lagu raya yang terus dimainkan saban tahun. 

“Kami berharap 'Suasana Raya' akan menjadi antara lagu yang menemani detik-detik indah Aidilfitri, dan terus kekal di hati peminat untuk jangka masa yang panjang,” akhiri Syamel sambil mendapat anggukan tanda setuju daripada isteri tersayang. - KitaReporters


Syamel, Ernie dan Khawla merakamkan momen indah di Hong Kong.

9
7
0
12
0
You will be interested