Penjenamaan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’ (Rumah Sepak Takraw) dilihat sebagai suntikan semangat baharu dalam usaha mengangkat kembali kegemilangan sukan tradisi itu yang terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Langkah tersebut hadir selepas prestasi membanggakan skuad kebangsaan sepanjang tahun lalu (2025) yang berjaya menjuarai Kejohanan Piala Asia selain meraih dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Bangkok 2025.
Ia sekali gus memberi gambaran jelas bahawa sepak takraw masih memiliki tempat istimewa dalam landskap sukan negara serta berpotensi berkembang lebih jauh dengan perancangan yang tersusun.
Selain menjadi gelanggang rasmi kepada kejohanan utama, stadium berkenaan juga bakal berperanan sebagai pusat tumpuan peminat untuk menyaksikan aksi berprestij membabitkan pasukan kebangsaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keputusan menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai ‘rumah’ sepak takraw dibuat hasil kerjasama erat antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, pengiktirafan itu adalah tanda penghargaan terhadap kejayaan atlet negara yang terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.
“Pencapaian pasukan sepak takraw sepanjang 2025 cukup luar biasa dan wajar diraikan dengan menyediakan sebuah venue yang mempunyai identiti khusus untuk sukan ini,” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur pada Isnin, 23 Februari.
Turut hadir Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Hannah Yeoh menjelaskan, hampir RM200,000 diperuntukkan oleh DBKL bagi kerja menaik taraf fasiliti di stadium tersebut.
“Bagi fasa pertama, kira-kira RM80,000 digunakan untuk penambahbaikan awal termasuk pemasangan papan skor LED, penghasilan mural ‘Home of Sepak Takraw’ dan kerja mengecat bangunan.
“Selebihnya melibatkan naik taraf ruang VIP, bilik media, surau, tandas, bilik persalinan, stor serta bilik mesyuarat bagi memastikan stadium ini bersedia menganjurkan kejohanan bertaraf tinggi,” katanya.
Hannah turut menegaskan bahawa pendekatan menaik taraf kemudahan sedia ada adalah lebih praktikal dan menjimatkan berbanding pembinaan stadium baharu.
“Apa yang penting kita mahu wujudkan satu lokasi tetap yang boleh menjadi simbol kebangkitan sepak takraw negara dan dalam masa sama kekal terbuka kepada sukan lain,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Sumali menyifatkan pengumuman tersebut sebagai detik bersejarah buat seluruh komuniti sepak takraw tanah air.
Katanya, kewujudan gelanggang rasmi itu sudah lama menjadi impian PSM dalam usaha memperkukuh imej sukan berkenaan.
“Ini satu penghormatan besar kepada semua pemain, jurulatih dan peminat sepak takraw. Kita akhirnya mempunyai sebuah venue ikonik yang boleh menjadi kebanggaan negara,” katanya.
Menurut Mohd Sumali, kedudukan Stadium Titiwangsa di tengah ibu kota memberi kelebihan dari segi akses kepada penyokong sekali gus mampu mewujudkan suasana lebih meriah setiap kali kejohanan berlangsung.
“Ia bukan sekadar nama, tetapi satu platform untuk kita mengembangkan lagi program pembangunan, menarik penajaan dan memperkukuh pemasaran sukan ini,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pusat latihan skuad kebangsaan kekal di Akademi Sepak Takraw Negara di Kampong Bharu yang lengkap dengan kemudahan latihan.
Katanya, Stadium Titiwangsa akan memberi tumpuan kepada penganjuran kejohanan utama termasuk pertandingan domestik dan antarabangsa.
“Apabila kita ada ‘rumah’ sendiri, perancangan menjadi lebih tersusun dan pemain juga akan lebih bersemangat untuk memberikan aksi terbaik,” katanya.

Mohd Sumali juga optimis bahawa inisiatif tersebut mampu melahirkan lebih ramai bakat baharu serta memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara kuasa besar sepak takraw dunia.
Dalam masa sama, beliau mengharapkan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk penganjur kejohanan dan komuniti sukan.
Penjenamaan ‘Home of Sepak Takraw’ itu bukan sahaja mencerminkan kejayaan semasa, malah menjadi pemangkin kepada era baharu perkembangan sukan warisan Asia Tenggara itu.
Dengan identiti yang lebih jelas serta sokongan berterusan kerajaan, Stadium Titiwangsa kini bersedia menjadi pentas kepada lebih banyak detik gemilang sepak takraw negara. - KitaReporters

Stadium Titiwangsa akan memberi tumpuan kepada penganjuran kejohanan utama termasuk pertandingan domestik dan antarabangsa.