Seni & Sukan 23 Feb, 2026

Video| Kehadiran Hadirmu Ramadhan! Bina hubungan dekat dengan Allah! Mesej syahdu Black dan Hazama!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Dalam suasana Ramadan yang sedang diraikan umat Islam ketika ini, penyanyi popular Black Hanifah menghadiahkan karya istimewa berjudul “Hadirmu Ramadhan”, sebuah lagu yang mengajak pendengar menyelami makna sebenar bulan penuh keberkatan dan mulia ini dengan lebih mendalam dan peribadi. 



Berbeza daripada kebiasaan lagu bertemakan perayaan, karya ini hadir dengan pendekatan yang lebih introspektif sebagai satu ruang untuk manusia kembali mencari ketenangan jiwa, keinsafan diri serta membina hubungan yang lebih dekat dengan  Penciptanya.

Pemilik bernama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah yang juga dikenali sebagai Nyawablack turut bertindak sebagai komposer serta penulis lirik, menyifatkan lagu ini sebagai refleksi hati terhadap kehadiran Ramadan yang sering membawa peluang kedua untuk memperbaiki diri.

Menurutnya, inspirasi utama "Hadirmu Ramadhan" tercetus daripada suasana syahdu malam-malam sunyi serta pengalaman peribadi Black sendiri yang melihat bagaimana bulan mulia ini mampu melembutkan hati manusia. 

Suasana malam yang sunyi, doa yang dipenuhi kesyahduan serta rasa rindu terhadap ketenangan bulan mulia itu menjadi antara elemen utama yang membentuk karya berkenaan. 



Menariknya, lagu ini turut melibatkan penyanyi tersohor Hazama yang menggunakan nama pena Kadok sebagai penulis lirik bersama, sekali gus memberikan keseimbangan emosi yang lebih matang terhadap melodi yang dihasilkan.

Kolaborasi itu tercetus secara spontan apabila Black memperdengar demo lagu berkenaan, sebelum perbincangan santai mereka membuka ruang kepada penambahbaikan lirik agar lebih selari dengan emosi dan susunan melodi. 

Proses penulisan lagu ini bermula dengan melodi yang menenangkan sebelum lirik dibentuk secara berperingkat-peringkat bagi memastikan setiap bait yang disampaikan kedengaran jujur dan tidak berlebihan, seolah-olah satu dialog antara seorang hamba dengan Tuhannya -- lahir daripada suara hati yang penuh keikhlasan dan kejujuran.


Hazama (kiri) turut sebagai penulis lirik bersama Black.


Antara cabaran utama dalam pembikinan lagu ini tentulah  memastikan ia kekal ikhlas dan tidak terjebak dengan klise memandangkan lagu bertemakan Ramadan sering terdedah kepada pengulangan tema. 

Pada masa sama, mereka perlu mencari keseimbangan agar mesej yang dibawa terasa dekat dengan pendengar tanpa terlalu berat atau terlalu ringan.

Dari segi tempoh penghasilan, meskipun idea asal lagu ini sebenarnya telah tercetus sejak setahun yang lalu, proses penghasilan penuh termasuk susunan muzik dan rakaman hanya mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan sepenuhnya tahun 2026 ini. 

Keistimewaan “Hadirmu Ramadhan” terletak pada pendekatannya yang bersifat peribadi dan introspektif di mana lagu ini tidak sarat dengan elemen perayaan, sebaliknya lebih menumpukan kepada rasa rindu, muhasabah diri serta pencarian makna Ramadan dalam diri setiap insan.



Secara tersirat, “Hadirmu Ramadhan” membawa mesej tentang rahmat dan peluang kedua yang hadir bersama Ramadan. 

Ia mengingatkan bahawa kehadiran bulan ini bukan sekadar rutin tahunan, tetapi satu ruang untuk kembali kepada fitrah, memaafkan dan memperbaiki diri.

Kehadiran Ramadan juga diingatkan sebagai satu rahmat yang tidak seharusnya disia-siakan. - KitaReporters

6
10
0
8
0
You will be interested