Seni & Sukan 20 Feb, 2026

Video| Demi Raya Pum Pang Lagi! Fazura bangkit dengan kekuatan! Bersama Anak! Bersama kasih sayang!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Dalam fasa baharu kehidupannya sebagai ibu tunggal, pelakon, penyanyi dan usahawan popular Fazura memilih untuk menzahirkan rasa syukur serta kekuatan keluarga menerusi single Aidilfitri terbaharu berjudul “Raya Pum Pang Lagi”. 


 


Lagu ini merupakan versi nafas baharu kepada “Raya Pum Pang” (duet dengan Syasya)  yang pernah menceriakan suasana perayaan tahun lalu, namun kali ini tampil lebih peribadi.

Ia mempertemukan Fazura dengan anak tersayangnya, Fatima atau nama penuhnya, Nur Fatima Aisya, 5, sekali gus menjadikan karya tersebut bukan sekadar lagu perayaan, tetapi simbol perjalanan emosi dan memori baharu selepas melalui perubahan besar dalam kehidupan peribadinya.

Sejak melalui fasa perpisahan yang mendapat perhatian umum pada Oktober 2024 lalu, Fazura dilihat lebih terbuka berkongsi sisi keibuannya dan bagaimana hubungan dengan anak menjadi sumber kekuatan utama. 

“Raya Pum Pang Lagi” lahir dalam suasana tersebut, apabila momen-momen kecil di rumah bersama Fatima bertukar menjadi inspirasi kreatif yang akhirnya dirakamkan sebagai sebuah karya rasmi. 



Menurutnya, proses menyesuaikan diri dengan rutin baharu sebagai ibu dan anak memberi perspektif berbeza terhadap makna sambutan Syawal, mendorongnya menghasilkan versi lagu yang lebih peribadi dan jujur.

Idea untuk merakamkan lagu ini tercetus secara spontan apabila Fatima sering menyanyikan “Raya Pum Pang” di rumah sejak tahun lalu (2025).

“Sejujurnya, idea ni datang secara sangat natural. Tahun lepas (2025) bila Raya Pum Pang keluar, Fatima memang selalu ikut menyanyi sekali dekat rumah. Dia hafal lirik, siap buat gaya sendiri. 

"Dari situ saya rasa, kenapa tak jadikan memori kecil tu sesuatu yang lebih bermakna? Raya Pum Pang Lagi ni bukan sekadar versi baru, tapi versi yang ada kenangan kami berdua sebagai ibu dan anak,” kongsi Fazura.



Penampilan Fazura dan Fatima di pentas pertunjukan fesyen Jakel Fashion Show 2026 baru-baru ini turut mencuri perhatian ramai, sekali gus mencetuskan perbualan tentang kemungkinan kolaborasi istimewa antara ibu dan anak tersebut. 

Namun Fazura menegaskan bahawa penghasilan lagu ini berlandaskan rasa peribadi tentang keluarga dan tradisi, bukan sekadar strategi promosi.

“Momen tu memang sangat manis, sebab kami dapat tampil bersama sebagai ibu dan anak di pentas yang besar. Tapi lagu ni sebenarnya lahir daripada rasa peribadi saya tentang Raya dan keluarga. 

"Kalau ada jenama yang turut sama meraikan nilai kekeluargaan dan tradisi macam Jakel, itu satu bonus yang sangat indah. Tapi inti lagu ni tetap tentang kasih sayang, memori, dan suasana raya dalam keluarga kami.” kata pemilik bernama penuh, Nur Fazura Sharifuddin ini.



Antara momen paling bermakna sepanjang pembikinan lagu ini ialah sesi rakaman di studio apabila Fatima berdiri di hadapan mikrofon sebagai sebahagian daripada karya rasmi buat pertama kalinya. 

Bagi Fazura, detik itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Masa sesi rakaman tu memang sangat comel. Fatima nyanyi dengan penuh yakin dan bangga, macam dia betul-betul tahu dia sebahagian daripada lagu ni. 

"Sebagai ibu, tengok dia berdiri depan mikrofon dengan semangat macam tu memang buat saya rasa sangat tersentuh dan emosional. Bagi saya, momen tu lebih daripada sekadar rakaman lagu, ia satu kenangan indah antara saya dan anak yang akan saya simpan sampai bila-bila,” kenangnya.

Kejujuran cerita di sebalik pembikinan lagu menjadi nadi utama yang membezakan “Raya Pum Pang Lagi” daripada lagu-lagu perayaan lain. 

Ia bukan sahaja meraikan kemeriahan Aidilfitri, tetapi juga merakam detik kasih sayang dan kebersamaan yang terjalin antara ibu dan anak.

Fazura berharap lagu ini mampu menjadi latar kepada memori-memori baharu yang tercipta di setiap rumah sepanjang Aidilfitri. 



“Lagu ini membawa mesej bahawa makna raya sebenar bukan terletak pada kesempurnaan luaran, tetapi pada insan-insan yang berkongsi detik tersebut bersama kita.

“Saya harap bila orang dengar lagu ni, mereka teringat rumah, gelak tawa anak-anak, dan momen kecil yang mungkin selalu kita terlepas pandang. 

"Raya bukan tentang baju cantik atau gambar sempurna semata-mata, tapi tentang siapa yang ada di sebelah kita masa tu,” tambah Fazura.

Dengan gabungan melodi ceria, lirik yang dekat di hati, dan kisah sebenar di sebalik pembuatannya, “Raya Pum Pang Lagi” dijangka menjadi antara lagu yang mengiringi suasana perayaan tahun ini.

Lebih daripada itu, ia berpotensi menjadi sebuah karya yang akan diingati sebagai simbol kasih sayang antara ibu dan anak, sekali gus mengajak  pendengar untuk berhenti seketika, menghargai momen kecil, dan meraikan erti sebenar kebersamaan pada pagi Syawal. - KitaReporters

7
14
0
8
0
You will be interested