Fenomena lagu raya dalam kalangan artis tempatan terus meriah tahun ini (2026) dan tidak terkecuali Nabila Razali yang turut kembali dengan lagu baharu selepas lagu raya terakhirnya dua tahun lalu iaitu “Raya Mana?” menjadi trending apabila persoalan itu dijadikan pertanyaan pertama khususnya bagi pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga.
Yalah kan selepas berkahwin, timbul perrtanyaan dan dilema seorang isteri memilih hendak ‘Raya Mana?” sama ada rumah ibu bapa atau ipar duai.
Kini selepas bergelar ibu dan melahirkan seorang cahaya mata lelaki, Nabila tampil dengan ungkapan ‘Tak Sabar Nak Raya’ pula, namun lagu ini bukanlah kesinambungan “Raya Mana”, tetapi sebuah kisah prekuel yang melengkapkan naratif raya Nabila Razali saat meraikan suasana kemeriahan Aidilfitri.
Dilancarkan dalam sebuah majlis sidang media dan berbuka puasa di Matrade, Kuala Lumpur pada 25 Februari 2026, karya baharu ini membawa penonton kembali ke fasa sebelum perkahwinan -- ketika watak Bella masih tinggal bersama keluarga dan menikmati keterujaan Aidilfitri sebagai anak gadis.

Turut hadir Ketua Pegawi Eksekutif Sony Music Malaysia, Kenny Ong (tengah) serta suami Bella, Nik Iruwan (jubah hitam) serta barisan komposer dan penaja yang terlibat.
Mengulas mengenainya, Nabila mengakui, lagu ini bukanlah kesinambungan daripada lagu Raya Mana? tetapi saling berkaitan.
“Dalam lagu Raya Mana?, Bella tak tahu nak balik kampung mana setelah berkahwin. Itu dilema Bella yang dulu.
"Dalam lagu kali ini pula ia menceritakan kisah Bella sebelum mendirikan rumah tangga yang mana dia masih duduk dengan keluarga iaitu dengan bapa dan abang-abangnya dan keluar merantau kerja di bandar.
“Kemeriahan balik kampung beraya saat itu berbeza dan dari situlah konon-kononnya dia terjumpa pasangan hidupnya iaitu Aizat Saha.
"Dalam MV (video muzik) Raya Mana? pun ada Aizat Saha. Jadi, 'Tak Sabar Nak Raya' ini kononnya titik pertemuan Bella dengan Aizat,” cerita Bella sewaktu ditemui.
Lagu ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin dan Asyraf Nasir itu diterbitkan oleh MFMF dengan susunan muzik yang menonjolkan elemen ceria, segar dan mudah diingati.

Menurut Nabila, idea lagu ini berakar daripada perasaan universal menjelang Syawal -- debaran sebelum pulang ke kampung, keseronokan menyiapkan baju raya, membayangkan duit raya serta keterujaan bertemu saudara-mara.
“Semua orang ada satu rasa yang sama. Tak sabar nak balik. Tak sabar nak jumpa keluarga. Tak sabar nak pakai baju raya dan makan bersama. Kami mahu lagu yang menangkap momen sebelum raya.
“Struktur lagu sengaja dibuat mudah, berulang dan mudah diingati. Frasa “Tak Sabar Nak Raya!” diulang sebagai hook utama supaya ia cepat melekat dan senang dinyanyikan ramai,” tambahnya.
Sambung Bella, pada awalnya dia hanya berpeluang mendengar lagu tersebut ketika ia baharu sahaja separuh siap daripada rakan-rakan komposer.
“Tapi waktu itu, saya memang dan tertarik dengan ‘verse’ dan korusnya. Jadi, Bella minta untuk tambahkan part joget lambak bersama sebutan ‘ea ea ea’.
“Alhamdulillah rakan-rakan komposer berjaya terjemahkan idea Bella ini dan bila dapat sahaja lagu penuh, ia menepati apa yang Bella bayangkan. Bella happy dengan hasilnya dan Bella percaya ramai yang akan suka dengan lagu raya ini,” katanya.

Keceriaan naskhah ini diperkukuh lagi dengan kemunculan istimewa pelawak versatil, Nabil Ahmad, yang menyumbangkan vokal serta elemen humor dalam rakaman studio selama empat jam.
Menurut Nabila, kehadiran Nabil memberikan impak besar terhadap tenaga lagu tersebut, selain turut dibantu oleh barisan pempengaruh media sosial terkenal seperti Aggy, King Oyen (kucing) dan Adik Yusuf yang memeriahkan suasana rumah kampung tradisional di Hulu Langat sepanjang 12 jam penggambaran MV dijalankan.
“Bekerja dengan Nabil sangat menyenangkan kerana beliau seorang yang sangat profesional dan beliau tahu fungsinya berada di situ.
"Waktu, beliau masuk recording, beliau benar-benar bersedia dan banyak memberikan input untuk menjadikan lagu ini lebih menarik. Macam-macam idea yang keluar dan macam-macam lawak sampai kita tidak tahu nak pilih yang mana.
“Tapi, Bella suka dengan hasilnya jadi Bella rasa telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih Nabil. Bella juga percaya, Nabil akan memberikan impak yang besar terhadap lagu ini,” akhirinya.

Sementara itu, Nabil memaklumkan beliau sangat teruja dapat bersama merakamkan lagu raya bersama Bella.
“Ini lagu raya pertama saya sebab itu bila Bella telefon dan menyatakan keinginannya saya terus terima tanpa fikir panjang,” akui Nabil sambil memaklumkan peluang keemasan yang diterimanya ini diharap dapat membantu perjalanan seninya dalam nyanyian berkembang.
"Saya sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis yang mahukan saya, Selepas ini mesti ramai lagi yang akan undang saya," tambah Nabil yang sentiasa suka berseloroh.Selain itu, sebagai nilai tambah kepada kerjaya seni Bella, lagu ini turut dipilih sebagai lagu runut bunyi (OST) bagi mini siri 20 episod berjudul Di Sebalik Cahaya Raya yang bersiaran di platform Viu sejak 26 Februari 2026. - KitaReporters
