Seni & Sukan 24 Feb, 2026

Video| Eh.. Eh! Eh Ah! Raya! Faradhiya pertaruh lagu raya pertamanya! Lagu ceria, sedikit playful!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Dalam kehangatan industri muzik tempatan yang menyaksikan ramai artis berlumba-lumba melancarkan lagu raya sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini (2026), penyanyi dan pelakon versatil, Farahdhiya, tidak ketinggalan mempertaruh karya terbaharu berjudul “Eh Ah! Raya” sebagai sumbangannya untuk memeriahkan suasana hari raya. 



Tampil dengan konsep ceria dan penuh tenaga, “Eh Ah! Raya” menggabungkan elemen tradisional dan moden menerusi susunan muzik segar yang memadukan bunyi rebana dengan sentuhan pop kontemporari. 

Pendekatan itu memberi dimensi baharu kepada lagu raya, sekali gus menjadikannya dekat dengan pendengar pelbagai lapisan usia.

Lagu berkenaan merupakan hasil kolaborasi kreatif antara Farahdhiya dan komposer prolifik, Pown Hasril. Kedua-duanya berganding bahu menggubah melodi, manakala lirik ditulis sepenuhnya oleh Farahdhiya sendiri. 

Proses penerbitan dan susunan muzik turut diterajui oleh Pown Hasril dengan sentuhan rebana oleh Ajay Amai, selain petikan gitar yang dimainkan olehnya. 

Bagi menambahkan lagi kemeriahan, vokal latar disumbangkan oleh Glowrush dan Ajay Amai, manakala suara kanak-kanak daripada Nawal Zayani dan Nawal Ariana turut mewarnai lagu ini. 

Proses adunan dan mastering disempurnakan oleh Jack Jafni bagi memastikan kualiti audio yang mantap.


Elly Mazlein turut diundang oleh Farahdiya memeriahkan video muzik lagu 'Eh1 Ah! Raya!


Menurut Farahdhiya, lagu tersebut lahir daripada rasa rindu terhadap kemeriahan Aidilfitri yang sarat dengan gelak tawa dan kebersamaan keluarga. 

“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu raya sendiri yang benar-benar mencerminkan personaliti saya iaitu ceria, sedikit 'playful' dan penuh semangat kekeluargaan. 

"Lagu ini adalah gambaran suasana ketika semua orang sibuk membuat persiapan, anak-anak berlari riang dan keluarga berkumpul tanpa mengira usia," ujar penyanyi bernama penuh, Nur Farah Dhiya Mohd Amin ini.

Tambahnya lagi, beliau mahu lagu ini menjadi runut bunyi wajib setiap kali menjelang Syawal.



“Saya harap bila orang dengar “Eh Ah! Raya”, mereka terus rasa nak balik kampung, terbayang juadah atas meja dan rasa teruja untuk menyambut raya bersama insan tersayang. 

"Raya bukan sekadar tentang pakaian atau kuih-muih, tetapi tentang kebersamaan dan kemaafan. Itu yang saya cuba sampaikan melalui lagu ini,” katanya yang turut menjemput Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom bersama menyerikan video muziknya..

Dengan tempo rancak serta korus yang mudah diingati, lagu ini diyakini berpotensi menjadi antara pilihan utama musim perayaan tahun ini, sama ada untuk siaran radio, penstriman digital mahupun kandungan media sosial.

Single “Eh Ah! Raya” edaran Seventeen Eleven Muzik kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama sekali gus menambah kemeriahan senarai lagu raya baharu yang mewarnai industri muzik tempatan tahun ini (2026). - KitaReporters


13
13
0
13
0
You will be interested