Seni & Sukan 25 Feb, 2026

Video| Siapa Siti Salmah? Penyanyi asal lagu Pura-Pura nyanyian Michelle Yeoh! Filem Sandiwara!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Filem pendek antarabangsa berjudul Sandiwara lakonan bintang kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, terus mencuri perhatian peminat seni global selepas tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 13 Februari 2026.



Walaupun filem berdurasi kira-kira 11 minit itu belum ditayangkan secara meluas di pawagam seluruh dunia, ia mula menjadi bualan hangat selepas satu babak memaparkan Michelle Yeoh menyanyikan lagu Melayu klasik tular dalam media sosial.

Babak tersebut bukan sahaja mempamerkan sisi berbeza Michelle Yeoh, malah membuka kembali lembaran sejarah muzik Melayu apabila ramai netizen mula tertanya-tanya siapakah penyanyi asal lagu berjudul Pura-Pura itu. 

Lebih mengejutkan, ramai tidak menyangka lagu yang dipilih untuk filem antarabangsa itu sebenarnya merupakan lagu klasik tempatan yang dirakam lebih lima dekad lalu.



Persoalan tersebut akhirnya terjawab selepas seorang pengguna Threads dikenali sebagai Sepitsiput tampil menjelaskan bahawa lagu Pura-Pura merupakan lagu yang dirakam pada tahun 1974 oleh penyanyi era klasik, Siti Salmah.

Penjelasan itu sekali gus menamatkan teka-teki ramai yang selama ini tertanya-tanya tentang identiti sebenar penyanyi lagu tersebut.   

“Lagu yang dinyanyikan Michelle Yeoh dalam filem Sandiwara tu judulnya Pura-Pura. Rilis pada 1974, dinyanyikan oleh Siti Salmah. Bukan Siti Salmah Bachik ya. Dan bukan juga Fatimah Razak,” jelasnya. 



Perkongsian tersebut segera menjadi rujukan netizen yang sebelum ini keliru mengenai asal-usul lagu berkenaan. Nama Siti Salmah mungkin tidak begitu dikenali dalam kalangan generasi muda hari ini, namun beliau merupakan antara penyanyi wanita yang aktif dalam dunia muzik Melayu sekitar era 1970-an.

Pada zaman tersebut, industri muzik tempatan sedang berkembang pesat dengan kemunculan pelbagai penyanyi yang membawa lagu-lagu berunsur balada, pop Melayu dan muzik asli yang sarat dengan emosi dan penceritaan.



Siti Salmah atau nama penuhnya, Siti Salmah Mat Jusak, dikenali melalui gaya nyanyiannya yang lembut, penuh perasaan dan mempunyai kekuatan emosi tersendiri, menjadikan lagu-lagu nyanyiannya mudah menyentuh hati pendengar.

Lagu Pura-Pura yang dirakam pada tahun 1974 merupakan antara lagu yang menonjolkan kekuatan vokalnya, dengan melodi perlahan serta lirik yang menggambarkan konflik perasaan dan kepura-puraan dalam hubungan.

Pada era tersebut, lagu-lagu seperti Pura-Pura biasanya dirakam dalam bentuk piring hitam dan dimainkan melalui radio, yang menjadi medium utama hiburan masyarakat ketika itu.

Walaupun tidak semua penyanyi era tersebut kekal dikenali generasi baharu, karya mereka tetap menjadi sebahagian daripada khazanah muzik negara. 

Pemilihan lagu nyanyian Siti Salmah dalam filem antarabangsa ini secara tidak langsung membuktikan bahawa karya beliau masih relevan dan mempunyai nilai artistik yang tinggi.



Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen mengakui mereka turut tertanya-tanya tentang penyanyi sebenar lagu tersebut. 

“Dari semalam duk cari lagu ni haha.” 

Manakala seorang lagi netizen mengakui dia menyangka lagu tersebut dinyanyikan oleh penyanyi lain. “Ingatkan suara Salamiah Hassan.” 



Seorang lagi netizen turut meluahkan rasa teruja selepas akhirnya mengetahui jawapan sebenar. “Terima kasih. Mencari juga siapa nyanyi Pura-Pura tu, you the best.” 



Siapa sangka siapa menduga bahawa lagu Melayu klasik masih mempunyai tempat dan nilai tersendiri, bukan sahaja di Malaysia, malah pada peringkat antarabangsa.

Pemilihan lagu Pura-Pura dalam filem lakonan Michelle Yeoh bukan sahaja memperkenal semula karya Siti Salmah kepada generasi baharu, malah membuka peluang kepada dunia untuk mengenali khazanah muzik Melayu yang kaya dengan emosi dan sejarah.

Kini, selepas lebih 50 tahun sejak dirakam, lagu tersebut kembali hidup dan menjadi perhatian ramai, membuktikan bahawa karya seni yang ikhlas tidak pernah luput ditelan zaman. - KitaReporters


7
17
0
8
0
You will be interested