Komitmen berterusan dalam menyemarakkan budaya ihsan dan tanggungjawab sosial (SR) terus dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Iftar Jiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin Nasional yang berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 26 Februari 2026 lalu.

Majlis ini bukan sekadar acara berbuka puasa, sebaliknya menjadi simbol penghargaan kepada para penyumbang, rakan strategik dan sukarelawan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan pelbagai inisiatif kebajikan sepanjang tahun lalu (2025).
Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, kedua-dua yayasan turut mengambil kesempatan menyantuni serta menghargai golongan penggiat seni dan pengamal media yang sedang berdepan ujian hidup termasuk masalah kesihatan.
Kehadiran mereka diraikan dengan penuh mesra sebagai tanda solidariti terhadap insan seni yang banyak menyumbang kepada masyarakat menerusi karya dan pengaruh masing-masing.
Antara penerima bantuan yang disantuni ialah Shamsul Ghau Ghau, Mak Ku Faridah, Dr Sam Rasputin, Jalil Hamid, Harun Hashim, Cico serta bekas wartawan BH Akmal Abdullah termasuk bekas jurusolek artis, Baby Elle serta Tok Wan Astro Halimah dan ramai lagi.

Akmal Abdullah (gambar kiri) dan Shamsul Ghau Ghau (kanan) antara penerima sumbangan.
“Melalui Yayasan Nurjiwa, kita sudah lama membantu rakan-rakan industri yang diuji dengan masalah kesihatan atau hilang punca pendapatan.
"Pada majlis ini juga, kita menyampaikan sumbangan kepada beberapa anak seni sebagai tanda sokongan dan ingatan bahawa mereka tidak dilupakan,” ujar Biduanita negara, Dato Seri Siti Nurhaliza Tarudin dalam ucapannya.
Turut hadir suaminya selaku pengasas bersama Yayasan Nurjiwa, Dato Seri Khalid Muhammad Jiwa serta Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Dato Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, malah hadirin turut dihiburkan dengan lagu raya terbaharu daripada Siti, berjudul 'Beraya Dengan Saya'.
Suasana majlis tambah bermakna dengan kehadiran 120 anak yatim dan pelajar tahfiz daripada Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Baitul Nurrawdhah, Rumah Titian Kaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbah Falah serta Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan yang turut menerima sumbangan.
Kehadiran mereka menyerlahkan lagi semangat kebersamaan dan nilai ihsan yang menjadi tunjang penganjuran majlis.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2025 Yayasan Nurjiwa telah melaksanakan pelbagai program kebajikan merangkumi bantuan kemanusiaan, kecemasan, pendidikan dan pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada penerima di dalam serta luar negara.
“Antara pencapaian paling signifikan ialah usaha pembangunan semula Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza yang musnah akibat pengeboman pada September 2025.
"Hasil solidariti rakyat Malaysia, sebuah sekolah sementara berjaya disiapkan pada awal tahun ini (2026) bagi memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak Palestin terus terpelihara,” tambah Siti..
Berkongsi lanjut beliau memaklumkan, Yayasan Nurjiwa juga memperkenal pendekatan inovatif menerusi program ‘Paddle For Hope’ yang menggabungkan gaya hidup sihat dengan tanggungjawab sosial sebagai platform pengumpulan dana.
Selain itu, bantuan kecemasan turut disalurkan kepada mangsa banjir di Acheh sebagai respons terhadap krisis serantau.
Atas tadbir urus yang telus serta impak sosial yang tinggi, Yayasan Nurjiwa turut menerima pengiktirafan sebagai Yayasan Terbaik Kebajikan Komuniti dan Foundation of The Year.
Menurut Siti, memasuki tahun 2026, fokus strategik yayasan akan tertumpu kepada usaha menaik taraf Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza kepada struktur yang lebih kekal di samping meneruskan bantuan kemanusiaan.
Program pembangunan rohani seperti Jiwa Quran bagi golongan B40 dan Program Nur Muhammad sepanjang Ramadan juga akan diteruskan bagi menyantuni asnaf yang terpinggir.
Pada masa sama, inisiatif pembinaan telaga air di Acheh akan dilaksanakan bagi menyediakan akses air bersih yang mampan kepada komuniti terjejas, selain memperluas Kempen Sedekah Nurjiwa melalui platform sumbangan yang lebih sistematik dan kolaboratif bersama sektor korporat.

Pelancaran kuih raya "Aroma' oleh Siti Nurhaliza dan Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, yang turut disertai Johan Raja Lawak dan isteri.
Dalam perkembangan berasingan namun membawa semangat yang sama, pelancaran koleksi kuih raya "Aroma - Siti Signature Cookies" sempena Aidilfitri, juga kolaborasi bersama Prihatin turut menjadikan elemen kebajikan sebagai teras utama.
Projek tersebut bukan sekadar memenuhi permintaan pasaran terhadap kuih raya menjelang Syawal, sebaliknya digarap dengan misi mengumpul dana untuk Gaza serta membantu anak seni yang kurang bernasib baik.
"Sebahagian hasil jualan kuih raya akan disalurkan kepada tabung bantuan Gaza, manakala selebihnya diagihkan kepada penggiat seni yang memerlukan sokongan kewangan, khususnya mereka yang berdepan kesempitan hidup dan masalah kesihatan,” ujar Siti.
Antara biskut yang diperkenalkan termasuk Almond London, tart nanas dan biskut mazola, dipilih berdasarkan kegemaran peribadinya sejak kecil.
"Almond London disifatkan sebagai kegemaran ramai setiap kali musim perayaan, manakala tart nanas dan mazola pula cukup dekat di hati kerana menjadi hidangan wajib keluarga suatu ketika dahulu," jelas Siti.

Kedua-dua inisiatif ini memperlihatkan bagaimana elemen komersial, penghargaan komuniti dan tanggungjawab sosial boleh digerakkan seiring.
Sama ada melalui penganjuran majlis iftar berskala besar mahupun jualan kuih raya sempena Syawal, matlamatnya tetap satu iaitu memastikan setiap rezeki yang dikurniakan dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh mereka yang lebih memerlukan, dari Gaza sehingga ke anak seni di tanah air sendiri.
Secara keseluruhannya, 'Majlis Iftar Jiwa Prihatin' mencerminkan iltizam berterusan Yayasan Nurjiwa dalam memperkasa nilai kemanusiaan dan memastikan setiap sumbangan yang diamanahkan memberi manfaat yang benar-benar bermakna kepada golongan memerlukan, selari dengan semangat Ramadan yang menuntut keprihatinan dan kebersamaan. - KitaReporters
