Seni & Sukan 16 Feb, 2026

Video| Simpan 2 hasrat besar! Winnie K mahu sertai Gegar Vaganza! Nak bekerjasama dengan Mimi Fly!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Penyanyi veteran yang terkenal dengan vokal mantap, Winnie K, 43, secara terbuka menyatakan hasratnya untuk bersaing di pentas program realiti popular, ‘Gegar Vaganza’  (GV), sekiranya diberikan peluang dan tawaran pada musim akan datang. 


 



Hasrat tersebut disuarakan berikutan permintaan tinggi daripada peminat yang merindui kemunculannya dalam arus perdana setelah sekian lama lebih fokus kepada persembahan korporat dan majlis tertutup.

"Saya tidak akan menolak sekiranya ditawarkan peluang tersebut dan berharap tahun ini (2026) membuka ruang untuk saya kembali bersaing serta memperkenal karya baharu kepada khalayak," ujar Winnie atau nama sebenarnya, Winnie Kok Mui Kuan, ketika ditemui selepas pelantikannya sebagai duta rangkaian kafe sihat, O’Briens, bersama pelari menara profesional nombor satu dunia, Soh Wei Ching bertempat di Menara OCBC, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir meraikan majlis sempena ulang tahun ke-20 O’Briens Cafe yang disempurnakan oleh Duta Ireland ke Malaysia, Orla Tunney adalah Ketua Pegawai Eksekutif O’Briens, Brian Pua; Ketua Pegawai Operasi OCBC Bank, Chong Lee Ying; dan Cef Puan Sri Nisa Bakri yang turut memperkenal pai buatannyaa, ‘Kabsa Shepherd’s Pie’.


Winnie K (kiri) bersama Orla Tunney (tengah), Brian Pua (tiga dari kiri), Soh Wei Ching (empat dari kanan), Cef Nisa Bakri (kanan sekali) dan Lee Ying (dua dari kiri) pada majlis sambutan ulang tahun O'Briens Cafe ke-20 di Menara OCBC KL.


Bercerita lanjut, Winnie menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menutup pintu buat sebarang program malah menyifatkan tahun ini (2026) sebagai waktu yang tepat untuk kembali memperkenal karya baharu kepada khalayak yang lebih luas.

Meniti perjalanan seni yang hampir mencecah dua dekad, beliau mengakui jadual kerjanya tetap padat terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di ibu kota. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, beliau akan menyambut perayaan di ibu kota kerana komitmen kerja termasuk persembahan pentas dan program televisyen, namun tetap memastikan masa berkualiti bersama keluarga terutama pada malam makan besar. 

“Bagi Winnie, makan malam bersama keluarga adalah momen paling penting dalam sambutan perayaan, walaupun hari pertama atau kedua Tahun Baharu Cina sering diisi dengan tugasan seni,” ujarnya.



Bagi mengubat rindu peminat terhadap menghasilkan lagu Melayu sejak album pertamanya, ‘Kau Ada Di Mana’ (2008), Winnie memaklumkan sedang dalam usaha menghasilkan lagu baharu berentak pop rancak bagi menyesuaikan dengan imejnya yang aktif dan lincah di atas pentas. 

Sehubungan itu, beliau melahirkan hasrat yang mendalam untuk bekerjasama dengan penyanyi serta komposer, Mimi Fly, yang disifatkan mempunyai idea kreatif dan segar.

"Saya berharap dapat memperoleh lagu daripada Mimi Fly kerana menyukai konsep muzik yang bertenaga serta sesuai dengan identiti diri saya yang gemar menyanyi dan menari di pentas," katanya 

Selain fokus kepada pasaran tempatan melalui lagu berbahasa Melayu, beliau juga bersikap terbuka untuk terlibat dalam projek bahasa Cina serta melebarkan sayap ke luar negara seperti Jakarta sekiranya peluang tersebut hadir.


Acara menandatangani memorandum persefahaman oleh Winnie dan Wei Ching bersama Brian bagi pihak O'Brien, Manakala gambar kanan, Winnie bersama Nisa Bakri. - Kredit foto: FAS.


Pun begitu, di sebalik kegemerlapan lampu pentas, Winnie memikul tanggungjawab besar sebagai anak bongsu dalam menjaga ibunya yang kini berusia lebih 80 tahun. 

Sejak ibunya mengalami kemalangan serius 18 tahun lalu yang menyebabkannya terpaksa menggunakan kerusi roda, Winnie menjadi tunjang utama dalam pengurusan harian ibunya. 

Walaupun terpaksa mengimbangi jadual seni yang mencabar, beliau meletakkan kebajikan ibunya sebagai keutamaan tertinggi dan hanya menyerahkan tugasan penjagaan kepada ahli keluarga lain sekiranya perlu bertugas di luar Kuala Lumpur.

“Menjaga ibu adalah perkara paling utama yang perlu saya titikberatkan dengan rapi,” ujar Winnie sebagai anak bongsu daripada tiga beradik.

Dengan perancangan rapi untuk kembali aktif menerusi lagu baharu dan potensi penyertaan dalam program realiti, Winnie optimis tahun 2026 ini bakal menandakan fasa baharu yang lebih gemilang dalam kerjaya seninya. 

Beliau berharap kemunculan semula ini bukan sahaja dapat memenuhi kerinduan peminat setia, malah membuktikan kredibilitinya sebagai penghibur serba boleh yang masih mampu memberikan saingan sengit di pentas arus perdana. 



Dalam perkembangan lain, Winnie mengangap  pelantikannya sebagai duta  O'Briens selari dengan amalan gaya hidup aktif dan pemakanan seimbang yang diamalkannya bagi mengekalkan stamina sebagai seorang penghibur. 

“Dengan gabungan perancangan muzik baharu dan impian ke pentas GV, Winnie optimis tahun ini (2026) akan menjadi titik kebangkitan semula buat kerjaya seni Winnie demi menghargai sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat,” ujar pemenang tempat ketiga Asia Bagus! Musim ke-2 (1993) ini. - KitaReporters

13
16
0
11
0
You will be interested