Peralihan waktu senja yang sering dianggap sebagai detik penuh misteri kini menjadi kanvas buat Wany Hasrita melakarkan semula identiti muziknya menerusi naskhah terbaharu berjudul ‘Lembayung Tari’.
Memilih laluan pop etnik yang lebih matang, Wany tidak hanya sekadar menyanyi malah mengajak pendengar meneroka dimensi penyembuhan jiwa melalui gabungan melodi tradisional dan sentuhan kontemporari yang jarang diketengahkan dalam arus perdana.
Keunikan lagu ini terletak pada kebijaksanaan gandingan komposer prolifik Hael Husaini dan Iqie Hugh yang berjaya menterjemahkan emosi tidak terungkap ke dalam susunan muzik yang puitis.

Iqie Hugh selaku penyusun muzik memberikan penekanan terhadap nuansa etnik yang sedikit misteri, sekali gus mencipta satu atmosfera magis yang selari dengan judulnya.
Lembayung Tari mengisahkan detik magis pada waktu senja iaitu saat peralihan cahaya yang melambangkan ketenangan, keindahan dan penyembuhan jiwa.
Melalui metafora tarian dan lembayung cahaya, lagu ini menggambarkan bagaimana seni mampu menjadi bahasa perasaan dan penawar emosi tanpa perlu kata-kata.

Menurut Wany Hasrita, lagu ini mempunyai makna yang cukup peribadi buat dirinya kerana ia memberi ruang untuk pendengar memperlahan langkah dan menikmati momen ketenangan.
“Lembayung Tari merupakan sebuah karya yang sangat dekat di hati saya kerana ia memberi ruang untuk kita ‘berhenti seketika’ daripada kesibukan hidup dan menikmati keindahan rasa melalui muzik dan seni gerak,” kata pemilik bernama penuh, Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini ketika ditemui pada sidang media 'Lembayung Tari' yang diadakan di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya pada semalam, 11 Februari 2026.
Turut hadir Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysa, Hermond Cheng.

Kehalusan lirik dan emosi yang disampaikan menjadikan lagu ini satu naskhah yang segar bagi industri muzik tempatan yang mendambakan kelainan.
Diterbitkan secara kolaboratif oleh Wany Hasrita Entertainment bersama Maison Management serta mendapat sokongan edaran daripada Universal Music Malaysia, single ini mula menemui peminat dalam semua platform penstriman digital sejak 6 Februari 2026 lalu.
Kehadiran 'Lembayung Tari' bukan sahaja memperkukuh kedudukan Wany sebagai antara penyanyi wanita terbaik negara, malah membuktikan keberanian beliau dalam mengangkat martabat muzik etnik ke tahap yang lebih tinggi dan moden. - KitaReporters

Wany Hasrita bersama Pengurusnya, Ash (kiri) dan Hermond Cheng (dua dari kanan) serta Nicholas Ling selaku Pengarah Kewangan & Operasi Universal Music Malaysia.