Seni & Sukan 10 Feb, 2026

Patah hati tapi feel good! Nak keluar dari zon selesa! Cherpen teroka elemen baharu bersama Chubb-E!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Cubaan bereksperimen dengan bunyi baharu membawa kumpulan Cherpen ke fasa berbeza dalam perjalanan seni mereka apabila tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Patah Hati’, sekali gus menyatukan elemen reggae dan rap menerusi kolaborasi pertama bersama penyanyi rap, Chubb-E.


 


Single berkenaan memperlihat sisi berani Cherpen yang sebelum ini lebih dikenali dengan lagu-lagu balada dan berentak perlahan. 

‘Patah Hati’ merupakan ciptaan bersama anggota kumpulan itu iaitu Nemo (Nasrulhaq Shahdan), Kimie (Muhammad Hakimi Abdul Aziz) dan Syahir (Muhammad Syahir Muhammad Johri) bersama Chubb-E, manakala lirik ditulis oleh Nemo, Kimie dan Chubb-E atau nama sebenarnya, Muhammad Sharul Ashlyn.

Menurut vokalis Cherpen, Nemo, kolaborasi ini tercetus secara spontan ketika kumpulannya sedang mengolah idea lagu berkenaan dan bereksperimen dengan elemen rap. 

"Pada mulanya, kami saja-saja tambah bahagian rap dan dari situ terfikir untuk cari seorang rapper. Akhirnya, kami jumpa Chubb-E dan terus rasa serasi,” katanya.


Kumpulan Cherpen. Dari kiri: Kimie, Shahir (tengah)  dan Nemo.


‘Patah Hati’ mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan yang dekat dengan realiti kehidupan, diinspirasikan daripada pengalaman peribadi anggota kumpulan serta kisah orang di sekeliling.  

Lagu ini turut membawa mesej utama agar pendengar menghargai insan yang benar-benar ikhlas mencintai mereka.

“Sedikit sebanyak ia memang berdasarkan pengalaman kami sendiri. Kalau kita tengok orang sekeliling, kebanyakannya pernah melalui fasa yang sama iaitu bercinta, putus dan akhirnya patah hati.  

"Mesej paling penting dalam lagu ini ialah ‘hargailah orang yang ikhlas mencintai,” tambah Nemo.

Dari sudut muzik, Cherpen mempertaruhkan genre reggae yang santai dan bersahaja sebagai kelainan kepada peminat. 

Walaupun judulnya 'Patah Hati', lagu ini diolah dengan elemen ‘feel good’ agar tidak terlalu muram.

Antara karya Cherpen yang pernah mendapat sambutan termasuk 'Pasti', 'Lepaskan' dan 'Kali Ini' yang sering diputarkan di radio tempatan serta mendapat perhatian dalam platform digital.

“Sebelum ini, orang kenal Cherpen dengan lagu-lagu ‘slow’ tapi kali ini kami tampilkan lagu bergenre reggae dengan elemen santai dan bersahaja. 

"Tajuknya ‘Patah Hati’ tetapi muziknya lebih ‘feel good’ dan tidak terlalu muram,” katanya.


Chubb-E (dua dari kiri) bersama Kumpulan Cherpen.


Sementara itu, Chubb-E pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan Cherpen sebagai satu pengalaman bermakna dalam perjalanan karier seninya.

Beliau tertarik dengan ‘vibes’ lagu tersebut sebaik mendengar demo dan melihat kolaborasi ini sebagai usaha menggabungkan dua dunia muzik berbeza untuk menghasilkan sesuatu yang segar.

“Bila Cherpen hubungi saya dan tunjukkan demo lagu ini, saya terus tertarik dengan ‘vibes’ lagu ini. Ia bukan sekadar lagu tentang kecewa tetapi tentang menghargai orang yang betul-betul ikhlas mencintai. 

"Proses rakaman pun sangat ‘smooth’ dan penuh idea,” jelas Chubb-E sambil berharap gabungan dua dunia muzik berbeza ini dapat diterima baik oleh peminat serta membuka lebih banyak ruang kolaborasi pada masa hadapan untuk menghasilkan sesuatu yang segar. 



Single ‘Patah Hati’ oleh Cherpen ft Chubb-E yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Seventeen Eleven Music ini kini berada di dalam senarai stesen-stesen radio utama dan boleh distrim dalam semua platform penstriman muzik utama. - KitaReporters

11
7
0
10
0
You will be interested