
“Masa rakam lagu ini umur saya baru 13 tahun. Waktu itu mak masih ada, jadi saya cuma menyanyi seperti yang diminta. Abang Rahim suruh hayati.
“Tapi sekarang bila mak dah tiada, setiap kali nak nyanyikan lagu ini impaknya sangat kuat,” katanya sempena Mamat Mekar Showcase pada Jumaat, 13 Februari lalu.
Lagu yang menaikkan namanya bersama kumpulan Exist sekitar 1991 itu membuatkan dewan sepi seketika apabila penonton turut sama menghayati setiap bait lirik sebelum memberikan tepukan gemuruh sebaik persembahan selesai.
Mamat juga mengakui jarang menyanyikan lagu berkenaan sama ada ketika bergerak solo atau bersama Exist kerana kekuatan emosi yang perlu ditanggung.
“Liriknya sangat kuat. Siapa yang masih ada ibu, sayangilah mereka. Bila satu masa nanti sudah tiada, kehilangan itu sangat dahsyat,” katanya.
Sebagai panduan, nama asal kumpulan ialah Exist (1991-1995) tetapi kemudian ditukar kepada Exists bermula dengan album Jangan Gentar (1997) sehingga kini.


Para peminat menghayati setiap bait lirik setiap kali Mamat melontar suara emasnya.
Showcase anjuran Mekar Management itu turut menjadi detik bermakna apabila dua anak perempuannya, Aleeya Mysara dan Dylea Mysara serta cucunya hadir memberikan sokongan.
Ahli keluarga dari Johor juga tidak ketinggalan menyaksikan persembahannya, sekali gus menjadi suntikan semangat buat Mamat yang kini menjalani rawatan dan pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Bentong.
Lebih membanggakan, persembahan berkonsepkan unplugged tersebut mencatat jualan meja ‘sold out’, membuktikan penyanyi itu masih mempunyai kelompok peminat setia.
Persembahan 11 lagu menjadi lebih mantap dengan iringan barisan pemuzik profesional seperti Eddrie Hashim dan Arif Izo (gitar), Pae Wings (dram), Fuad (keyboard) serta Eddie XPDC (bass) yang menghidupkan suasana.

Pengurusnya, Azlina Abdul Aziz berkata, idea mengadakan showcase solo tercetus selepas Mamat kerap menerima undangan sebagai artis jemputan atau membuat persembahan bersama Exists.
Katanya, sokongan peminat setia sejak awal pembabitan dalam industri turut membantu menjayakan penganjuran walaupun pihak pengurusan tidak mempunyai pengalaman menganjurkan acara seumpamanya.
“Nama ‘Mamat’ itu sendiri sudah sinonim. Kita tidak boleh halang orang panggil ‘Mamat Exist’ kerana itu permulaannya, tetapi dari segi penjenamaan kita kekalkan Mamat sahaja,” katanya.
Mengulas kerjasama dengan Exists, Azlina menjelaskan tiada sebarang masalah untuk Mamat terlibat selagi kontrak dan terma jelas, malah pihaknya sudah menandatangani perjanjian bagi konsert reunion pada Oktober 2026 ini.
Perancangan lain termasuk merakam semula lagu lama dengan nafas baharu selepas isu hak cipta diselesaikan, program berbuka puasa bersama peminat serta konsert reunion Exists pada Jun 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil dan Oktober di Pulau Pinang.

Azlina yang juga peguam Mamat ketika kes mahkamah pada 2023 berkata, beliau mencadangkan penyanyi itu menjalani rawatan di Pengasih selepas melihat keadaannya sepanjang tempoh reman.
Kini katanya, Mamat berada dalam keadaan sihat dan stabil, namun masih memerlukan pemantauan serta sokongan berterusan.
Dengan pengurusan lebih tersusun dan perancangan kerjaya yang jelas, Mamat dilihat bersedia untuk kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan karya serta persembahan yang lebih matang. - KitaReporters
