Seni & Sukan 17 Feb, 2026

Pecah tembok! Mary Lim penyeri filem Hantu Rimau, Sumpitan Racun! Pelakon bukan Melayu cipta nama!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

NAMA Mary Lim mungkin asing bagi generasi peminat filem Melayu masa kini. Namun bagi generasi lama peminat filem klasik, dia dikenali sebagai bintang filem bukan Melayu yang mencipta nama di layar perak, khususnya dalam filem keluaran Studio Cathay Keris, Singapura.


Mary Lim memegang watak Dr. Lai Peng dalam filem 'Hantu Rimau' (1960) yang melonjakkan namanya dalam filem Melayu, khususnya keluaran Studio Cathay Keris.


Namanya mula dikenali pada tahun 1960 melalui filem thriller penyiasatan, ‘Hantu Rimau’, terbitan Studio Cathay Keris, dengan memegang watak heroin. Ketika itu belum ramai artis bukan Melayu muncul dalam filem Melayu.

Dia memegang watak penting sebagai Dr. Lai Peng, bergandingan dengan S. Romai Noor yang memegang watak ASP Latiff. Kedua-dua mereka saling bekerjasama menyiasat dan menyelesaikan misteri jenayah, termasuk pembunuhan.

Mary Lim menjadi tonggak yang membantu kejayaan filem. Kehadirannya diterima baik oleh peminat filem Melayu. Secara tidak langsung ia menimbulkan minat masyarakat bukan Melayu menonton filem tersebut, sebuah karya filem dibintangi pelbagai kaum, untuk dinikmati pelbagai kaum juga.


Mary Lim dan S. Romai Noor dalam satu adegan cemas filem 'Hantu Rimau'.


Studio Cathay Keris mengorak langkah untuk membuktikan bagaimana pengarah, pelakon dan kru daripada latar belakang berbeza boleh digabungkan dalam satu filem untuk penonton berbilang kaum.

Filem ‘Hantu Rimau’ yang membawa Mary Lim ke dunia perfileman adalah contoh terbaik. Filem ini unik kerana digabungkan daripada tiga filem arahan tiga pengarah, iaitu L. Krishnan, B.N. Rao dan S. Roomai Noor.

Filem penyiasatan ini menampilkan gabungan tiga filem dengan judul utama ‘Hantu Rimau’. Boleh juga dianggap sebagai kombinasi tiga cerita dalam satu yang saling berkait. 

Masing-masing bertajuk ‘Mud on Her Shoes’ arahan L. Krishanan, ‘Hantu Rimau’ arahan B.N. Rao dan ‘Double Knock Out’ arahan S. Roomai Noor.  


S. Romai Noor sebagai ASP Latiff bersama seorang anggota polis pembantunya dalam 'Hantu Rimau'.


Watak Dr. Lai Peng yang dilakonkan oleh Mary Lim, dengan S. Roomai Noor membawa watak ASPL Latiff, seorang pegawai penyiasat yang berkarisma merungkai misteri jenayah, mewujudkan kombinasi serasi. Turut membintangi filem ini ialah Siput Sarawak, Mahmud June, Aman Belon dan Yem.

Penampilan Mary Lim merupakan percubaan berani Catahy Keris memperkenal pelakon berbangsa China. Ia jarang dilakukan untuk filem tempatan era awal 1960-an.

Kejayaan ‘Hantu Rimau’ dan lakonan mantap Mary Lim mendorong pihak studio memilihnya sekali lagi menjadi heroin dalam filem thriller ‘Sumpitan Racun’ keluaran 1961. Filem ini merupakan sekuel kepada ‘Hantu Rimau’.

Sekali lagi dia bergandingan dengan S. Roomai Noor yang juga pengarah filem tersebut. 

Resipi gandingan ini mencapai kejayaan di pasaran, melatakkan nama Mary Lim sebagai pelakon kesukaan ramai. Turut membintangi filem ini ialah Latifah Omar.


S. Romai Noor dan Latifah Omar dalam satu adegan filem 'Sumpitan Racun' keluaran Studio Cathay Keris tahun 1961.


Namun sayang selepas ‘Hantu Rimau’ dan ‘Sumpitan Racun’, Mary Lim mengambil keputusan mengejut berundur daripada dunia filem. 

Dia memilih karier sebagai penyanyi pula, menjadi penyanyi kelab malam di Singapura, Sabah, Kemboja dan sekitar Semenanjung.

Kehidupan sebagai penyanyi juga tidak bertahan lama. Dalam satu temu bual pada 1962, dia  mengaku sudah penat dengan sikap cemburu dan tekanan dalam dunia hiburan. Meninggalkan karier sebagai penyanyi, Mary Lim kemudian membuka butik.

Mary Lim meninggalkan dunia filem ketika sedang menempa nama dan masa hadapan yang cerah. Walau pun sudah lebih enam dekad berlalu, namanya tetap tinggal sebagai kenangan dalam filem Melayu. - KitaReporters

8
7
0
10
0
You will be interested