Gambar hiasan... Polis berjaya menahan 10 individu yang leka berjudi 'pai kaw' dalam kawasan semak di Kampung Baru, Penjom, Lipis, Pahang. - Kredit foto: Pixabay
SEORANG warga emas berusia 73 tahun antara 10 individu dicekup polis ketika berjudi menggunakan
buah ‘pai kaw’ di kawasan semak di Kampung Baru Penjom, Lipis, Pahang.
Dalam serbuan
sekitar jam 6.20 petang pada 23 Jun 2021 hasil maklumat orang awam itu, polis
turut menemui wang tunai berjumlah RM2,539 dipercayai sebagai wang pertaruhan.
Ketua Polis
Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata suspek ditahan berusia 73
hingga 31 tahun termasuk tiga wanita warga Vietnam.
“Sewaktu
polis jalankan intipan, semua suspek dilihat berkumpul mengelilingi sebuah meja
lipat. Ketika serbuan dilakukan, beberapa individu bertindak cuba larikan diri ke arah hutan berhampiran.
“Bagaimanapun
usaha itu gagal. Hasil pemeriksaan mendapati
atas meja terdapat alatan dipercayai digunakan untuk berjudi termasuk 32 buah
'pai kaw' dan tiga dadu,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Jun 2021.
Tambah Azli, siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kesemua suspek juga dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter