Seni & Sukan 28 Jan, 2022

Perniagaan keluarga mampu bertahan? Saliza Abdullah buktikan! BG Capital Holdings dah 30 tahun!

@news editor 2
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com

Share this


KEPUTUSAN diambil seorang siswazah Kejuruteraan Elektrik dari universiti terkemuka Amerika Syarikat lebih 20 tahun untuk menceburi perniagaan keluarga membuatkan ramai kenalannya tidak bersetuju.

Bukan sekadar menyatakan wanita ini telah mensia-siakan usianya tetapi ada individu turut membuat andaian perniagaan keluarga yang ketika itu baharu usia lapan tahun tidak dapat bertahan lama.

Tidak lemah dengan semua itu, Saliza Abdullah terus mengorak langkah ke depan meskipun usianya masih muda serta pengalaman terlalu hijau untuk bersaing dalam industri yang didominasikan oleh lelaki.


 Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perniagaan


SALIZA ABDULLAH


Hari ini, beliau boleh berbangga dan berjaya buktikan segala tanggapan pernah dilemparkan terhadapnya dulu salah kerana syarikat perniagaan keluarganya, Kumpulan BG Capital Holdings sudah menginjak 30 tahun penubuhan.

Perniagaan diasaskan ibunya, Maimoon Mat Akil (Allahyarhamah) itu bukan sekadar mampu bertahan sehingga kini malah terus berkembang dengan pelbagai cabang perniagaan dan mendapat pelbagai pengiktirafan dari dalam serta luar negara.

“Saya akui cabaran kami bukan sedikit. Kami perlu bersaing dengan ratusan syarikat keselamatan tetapi alhamdulillah, kami sudah membuktikan kepada semua, ia bukan perkara yang mustahil.

“Kini, syarikat kami sudah mencapai usia 30 tahun, satu pencapaian yang saya rasa amat besar. Lebih membanggakan, syarikat kini juga disertai generasi ketiga,” kata Saliza yang merupakan Pengarah Urusan Kumpulan BG Capital Holdings.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Kumpulan BG Capital Holdings dan Pelancaran Buku di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 22 Januari 2022.


 Saliza memegang buku hasil tulisannya. 


Saliza berkata, buku keusahawanan bertajuk  ‘Growing A Sustainable Family Business: Our First 30 years. Values & Strategies For Entrepreneurs & SMEs’ merupakan hasil tulisannya sendiri. 

Katanya, buku itu bukan sahaja merakam sejarah perjalanan syarikatnya yang diterajui sepenuhnya oleh wanita tetapi juga bertujuan berkongsi pengalaman serta panduan dengan usahawan bagi membina serta memastikan kelangsungan perusahaan keluarga secara sistematik.


 


“Statistik menunjukkan, perusahaan keluarga berpotensi menjadi satu kuasa ekonomi yang besar. Namun, hanya 30 peratus perusahaan keluarga di seluruh dunia berjaya melalui proses peralihan dari generasi pertama kepada generasi kedua.

“Manakala hanya 13 peratus berjaya diteruskan hingga kepada generasi ketiga. Kebanyakan perusahaan keluarga akan terkubur selepas ketiadaan pengasas akibat konflik dan ketidaksefahaman yang wujud dalam kalangan pewaris. 

“Kumpulan BG Capital Holdings berjaya membuktikan bahawa perkara ini tidak mustahil.  Oleh itu, buku ini turut memberi penekanan pada aspek nilai dan strategi yang perlu ada pada usahawan dan perusahaan kecil sederhana bagi pastikan perniagaan mereka diwarisi generasi ke generasi,” katanya.



Sejak pelancaran buku itu diumumkan pada November 2021, sebanyak 1,680 naskah buku yang diterbitkan anak syarikat Kumpulan BG Capital Holdings, BG International Sdn Bhd dijual menerusi Webstore syarikat.

Sejumlah RM3,000 hasil daripada jualan buku itu juga disalurkan kepada Tabung Kebajikan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), manakala 165 naskah buku bernilai RM9,900 disumbangkan kepada ANSARA Malaysia untuk diedarkan kepada 55 perpustakaan Maktab Rendah Sains MARA di seluruh negara.

Selain itu, 50 naskah buku bernilai RM3,000 juga disumbangkan kepada Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

“Saya berharap buku ini dapat memberi inspirasi dan panduan kepada usahawan sedia ada serta bakal usahawan,” katanya.

Pada majlis sambutan ulang tahun itu, syarikat terbabit turut memberi penghargaan kepada Rakan Strategik Platinum, Wasiyyah Shoppe Berhad dan Rakan Strategik Teknologi, HAUZ Enterprise Sdn Bhd serta pelanggan setia, Ekovest Berhad, Bollore Logictics Malaysia Sdn Bhd dan Sunway Services Sdn Bhd.

Turut diraikan pada majlis yang dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada artis terkenal, Datuk Nora Ariffin ialah 17 kakitangan untuk lima kategori anugerah atas kesetiaan dan khidmat cemerlang mereka kepada syarikat.-KitaReporters


14
8
0
13
1
You will be interested