Bagi meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memilih pendekatan unik apabila buat pertama kali menganjurkan kejohanan ragbi universiti, Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT, yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar IPT di Terengganu ini.

Pasukan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berjersi merah merupakan antara pasukan luar dari Terengganu yang turut hadir memberi saingan Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT yang telah berlangsung di padang Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, Kuala Nerus, Terengganu pada 14 Februari 2026.

Dalam edisi sulung ini, Tuetowear RC muncul juara selepas menewaskan IPG KB dari Kelantan dengan keputusan 30-0. Sementara itu, pasukan tuan rumah Stingrays RC menamatkan saingan sebagai naib juara Plate apabila tewas 5-21 kepada Dungun Rugby.
Acara sehari penuh di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail pada 14 Februari 2026 itu menghimpunkan lapan pasukan jemputan dengan 20 perlawanan berlangsung, sekali gus menjadi kayu ukur baharu bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT yang turut disokong oleh Pusat Sukan & Rekreasi UMT dalam membuktikan kemampuan mereka sebagai penganjur seperti mana penganjur-penganjur lain di luar sana.
Menurut pengarah pertandingan, Nurul Syazwani Norazman, pengalaman ini membuka lembaran baharu buat pelajar UMT kerana sebelum ini mereka hanya turun sebagai pasukan bertanding.

Nurul Syazwani Norazman (tengah) bersama rakan-rakan lain yang juga merupakan jawatankuasa penganjuran edisi sulung Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT
"Satu pengalaman baru buat kami selaku penganjur di mana selama ini kami hanya hadir selaku pasukan bertanding.
"Walaupun hanya melibatkan 8 pasukan jemputan sebagai permulaan, namun dengan penyertaan pasukan dari Pahang dan Kelantan memberi penanda aras untuk kami selaku penganjur.
"Hasil maklum balas positif yang diterima, kami tidak menolak untuk penganjuran yang lebih besar lagi pada pertengahan tahun ini (2026),” berkata Nurul Syazwani yang juga merupakan pelajar tahun dua Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di universiti ini.
Ujarnya lagi melalui penganjuran ini turut memberi peluang kepada Stingrays RC, satu-satunya kelab ragbi di UMT bagi menambah minit-minit permainan yang amat diperlukan untuk mengekalkan prestasi momemtum semasa pasukan di tahap yang terbaik.

Barisan pengurusan pasukan ragbi KPTM Kuantan yang juga dikenali sebagai KPTM Bullets RC. Dari kiri: Jurulatih pasukan Anwar Hakim Md Rozhdi, Mohd Ad Deen Al Haj Zulkefly dan pemain Muhammad Irfan Zamani Hariman.
Bagi pengurus KPTM Bullets RC, Mohd Ad Deen Al Haj Zulkefly, usaha UMT ini wajar dijadikan acara tahunan kerana kekurangan pertandingan ragbi di pantai timur.
“Kami sanggup untuk menempuhi perjalanan dari Kuantan hadir ke negeri Terengganu ini oleh kerana ketandusan penganjuran di negeri-negeri Pantai Timur ini di mana selama ini kami terpaksa mencari minit-minit permainan di Pantai Barat atau selatan tanah air.
“Walaupun dianjurkan oleh pelajar-pelajar UMT sepenuhnya yang tidak pernah terlibat dalam teknikal penganjuran, kita boleh lihat hari ini mereka berjaya melakukan tanpa sebarang masalah.
"Kredit seharusnya diberikan kepada usaha mereka ini dan kami mengharapkan ia akan menjadi acara tahunan.
"Kami juga mengharapkan kategori IPT dan wanita diperkenalkan memandangkan sebahagian besar pasukan melibatkan IPT dan mempunyai pasukan ragbi wanita,” ujarnya yang juga merupakan pegawai akademik dan peperiksaan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan itu. - KitaReporters/Kenyataan Media

Pemain pasukan KPTM Bullets RC (jersi berwarna kuning) cuba melepasi kubu lawan pasukan IPG Kota Bharu dalam perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT yang telah berlangsung di padang Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, Kuala Nerus, Terengganu.