Seni & Sukan 14 Jun, 2021

Berita Terkini| Pemangku Raja saran hentikan aktiviti lombong di Tasik Chini! Lawatan mengejut!

@news editor 2
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com

Share this

Tasik Chini.  Kredit foto: NSTP


PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata saranan itu dititahkan baginda selepas mengadakan lawatan tapak secara mengejut pada 13 Jun 2021 di sekitar kawasan Tasik Chini.

“Baginda juga telah meneliti laporan dipersembahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan serta tindakan pemulihan dan pemeliharaan dijalankan kerajaan negeri.

“Langkah kerajaan negeri yang tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan baharu sejak tahun 2019, dipersetujui baginda.

“Baginda selanjutnya menitahkan agar kerajaan negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam bidang kuasa masing-masing dapat mengambil beberapa langkah,” katanya menerusi kenyataan media pada 14 Jun 2021.

Tambah beliau, antara langkah tersebut ialah pertahankan pengiktirafan dunia yakni Tasik Chini menjadi Tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pertama di negara ini.

Kata Ahmad Khirrizal lagi, baginda mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha kerajaan negeri dalam memastikan alam sekitar di Pahang sentiasa terjaga.

“Baginda juga menyeru semua pihak sentiasa amalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati generasi akan datang.

“Baginda menitahkan kawasan bekas lombong dipulihkan semula dengan penanaman pokok hutan bersesuaian serta luaskan lagi kawasan Hutan Simpan Chini sedia ada seluas 4,600 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini serta kawasan persekitarannya.

“Selain itu, baginda turut berharap aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Tasik Chini yang sedang dilaksanakan dipergiatkan lagi oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Tambah beliau, aktiviti penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter



1
0
0
0
0
You will be interested