Seni & Sukan 17 May, 2021

Berita Terkini| Tiada varian Afrika Selatan di Jempol! Kematian suri rumah kerana Covid-19 biasa

@news editor 2
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com

Share this

Gambar hiasan... Kematian mangsa Covid-19, seorang suri rumah pada 15 Mei 2021 di Jempol, Negeri Sembilan tiada kaitan dengan varian Afrika Selatan. - Kredit foto: FB Kementerian Kesihatan Malaysia


BERITA tular dalam media sosial berhubung dakwaan berlakunya kes kematian mangsa Covid-19 membabitkan varian Afrika Selatan di Jempol, Negeri Sembilan adalah tidak benar serta rekaan semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sehingga kini tiada lagi laporan mengenai varian berkenaan di Jempol dan kes kematian berlaku pada 15 Mei 2021 adalah disebabkan jangkitan virus biasa Covid-19.

“Terdapat satu kes kematian akibat Covid-19 pada 15 Mei 2021 melibatkan seorang suri rumah berbangsa Melayu berusia 62 tahun dari Palong 5. Kes dirawat di Hospital Jempol sebagai Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), keputusan PCR Covid-19 adalah positif.

"Kematian tersebut tiada kaitan dengan varian Afrika Selatan. Pejabat Kesihatan Daerah juga tidak menerima sebarang laporan mengenai varian ini lagi sehingga kini,” katanya dipetik oleh Sinar Harian, 17 Mei 2021.

Tambah beliau, tiada sebarang penutupan jalan keluar masuk di sekitar Palong 4, 5 dan 6 sebagaimana berita yang tular dalam media sosial termasuk aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan varian Afrika Selatan mula merebak di Palong 5, sehingga menyebabkan kematian.

Berita tular juga memaklumkan varian tersebut mula menjangkiti penduduk di Palong 5 dengan cepat sehingga menyebabkan semua pintu masuk di Palong 4, 5 dan 6 ditutup. KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

 

 

0
0
0
0
0
You will be interested