ANDA masih ingat tak, pada bulan Julai 2021 lalu, KitaReporters ada berkongsi mengenai program realiti pertama secara dalam talian terbitan syarikat rakaman COF Music iaitu COF Lockstar?
Jika lupa baca kembali pada link ini: https://kitareporters.com/gaya/y1aKrjv8eQ
Berita mutakhir, COF Lockstar bakal melabuhkan tirainya menerusi pentas akhir pada malam, 2 Oktober 2021, jam 9 malam dalam saluran YouTube COF Music.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pertandingan
Kumpulan Banyak Bunyik Republik
Enam finalis bakal berentap bagi merebut gelaran Juara COF Lockstar sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM50,000, merangkumi wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.
Pemenang bagi tempat kedua akan membawa pulang RM5,555 berserta trofi, manakala pemenang tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi. Sementara itu turut disediakan dua kategori iaitu 'Most Creative' dan 'Most Viewers' yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.
Siapakah enam finalis yang berjaya?
Mereka yang bertuah terdiri daripada Azumi Shazani, 23; Jiha Akhir, 27; Ryan Razali, 21; Yusuf Kassim, 25; Zee Rahmat, 24; dan kumpulan Banyak Bunyik Republik terdiri daripada 8 lelaki dan 2 orang perempuan.
Dari kiri: Zee Rahmat, Azumi Shazani dan Ryan Razaly
Dari kiri: Yusof Kassim dan Jiha Akhir.
“Semua finalis ada kelebihan masing-masing. Malah, mereka juga daripada genre berbeza. Sebagai contoh, macam Zee Rahmat dia ada gaya tersendiri yang mana lebih pada R&B. Kalau Ryan pula rapper. Begitu juga band yang mengetengahkan muzik yang unik. Ketiga mereka ini dilihat memberikan persaingan hebat,” ujar Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim.
Menurut Aman, pertandingan bermatlamat melahirkan penyanyi baharu yang bersandarkan pada bakat akhirnya dapat dicapai berdasarkan kualiti enam finalis terbabit.
Jelas Aman, untuk pentas ‘final' semua persembahan dengan iringan ‘live band’ sudah dirakamkan.
“Kita nak tahu sejauh mana kemampuan mereka membuat persembahan secara ‘live band’ di mana komen juri dan keputusan sahaja dibuat secara langsung,” tambah beliau yang menampilkan empat penyanyi hebat tanah air sebagai juri iaitu Akim Ahmad, Black, Tomok dan Hazama.
Berdasarkan persembahan mereka sepanjang empat minggu lalu sehingga layak ke pentas akhir, Aman berpendapat mereka sudah bersedia untuk memasuki pasaran muzik tempatan memandangkan kesemua finalis mempunyai kelebihan tersendiri malah hala tuju mereka terjun ke dalam industri sudah nampak jelas.
“Pendek kata, mereka ada potensi besar untuk menyerlah dan sebagai label kita perlu ketengahkan bakat mereka sebagai pelapis dalam industri,” ujar Aman sambil memaklumkan single baharu yang dipersembahkan pada peringkat akhir nanti bakal dirakamkan semula dalam versi studio bagi tujuan pasaran komersial dan promosi.
“Lagu baharu yang dinyanyikan pada pentas akhir adalah single mereka. Untuk pasaran komersial dan promosi pula akan dirakam lain. Sebab untuk akhir ini saja mereka kena menyanyikannya secara langsung dengan band. Mereka bertuah apabila ‘live band’ diiringi beberapa individu hebat dalam bidang muzik,” jelas Aman.
Sambungnya, setakat ini pihaknya masih kekal dengan perancangan untuk menjadikan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga sebagai artis COF Music manakala untuk yang lain akan dibincangkan kemudian sekiranya ada perancangan susulan kelak.
Dalam masa sama, dengan sambutan hangat yang diterima daripada 2,000 penyertaan, Aman optimis untuk meneruskan COF Lockstar pada musim kedua selain menerbitkannya di beberapa negara lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
“Memang ada perancangan untuk mengembangkannya ke Indonesia terlebih dahulu sebelum membawanya ke negara lain seperti SIngapura, Thailand serta Brunei. Dan kiranya dapat semua ini, musim akan datang, kita akan melakukan ‘live stream’ dengan negara terbabit,” Aman berharap.
Beliau tidak menolak sekiranya ada mana-mana pihak contohnya stesen tv atau platform OTT yang ingin bekerjasama menjayakan COF Lockstar masa hadapan, beliau sangat mengalu-alukannya.
Siapa agaknya yang bakal bergelar juara COF Lockstar 2021 yang pertama? Nantikan malam 2 Oktober 2021, ya! - KitaReporters