Gambar hiasan... PDRM akan memperkasakan lagi kawalan sempadan negara menerusi penggunaan teknologi seperti CCTV dan dron. - Kredit foto: Bernama
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam pertimbangan untuk menambah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sempadan negara, sekali gus memperkasakan lagi kawalan keselamatan tanah air menerusi penggunaan teknologi.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata pemasangan CCTV ketika ini sudah ada, namun ia terhad seperti di kawasan Padang Besar, Perlis sahaja.
"Kita sedang mempertimbangkan untuk letak CCTV di kawasan lain lagi iaitu lokasi 'hotspot' yang telah dikenal pasti memandangkan kos pemasangannya di sepanjang sempadan adalah tinggi.
"Bagi pengguna dron pula, teknologi ini akan dapat kurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia. Kita tidak perlukan sejumlah anggota yang ramai bagi menjaga serta mengawal sempadan negara.
"Dron akan diterbangkan 24 jam bagi kawalan keselamatan, jadi setiap apa yang berlaku akan dapat disalurkan maklumatnya kepada pusat gerakan untuk diambil tindakan," katanya dipetik Bernama, Selasa, 20 April 2021.
Tambah beliau, jumlah keanggotaan bagi kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak akan ditambah susulan langkah kerajaan Indonesia ingin menjadikan wilayah Kalimantan sebagai lokasi baharu untuk ibu negara republik itu bagi menggantikan Jakarta. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter