PENGGUNAAN teknologi dalam pelajaran untuk menarik murid supaya lebih fokus kepada pembelajaran sudah dipraktikkan Sekolah Kebangsaan Pulau Indah (SKPI), Sekolah Amanah Malaysia, Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Klang, Selangor sejak akhir tahun 2020.
Idea asal usaha berkenaan tercetus selepas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPI, Mohd Haffiz Mohd Don yang terbabit dengan mesyuarat di salah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam daerah Klang melihat bagaimana sekolah itu dimodenkan dengan penggunaan ‘Smart Board’ dan beliau ingin membawa konsep Pendidikan Pintar ke SKPI pula.
Guru Besar SKPI, Hazi Kadir, berkata hasil perbincangan awal antara dia dan Mohd Haffiz, idea asal itu cuba dimurnikan dengan menggunakan dana PIBG terlebih dahulu bagi mendapatkan lima unit TV pintar android bersaiz 50 inci.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan SK Pulau Indah, Pelabuhan Klang
Guru Besar SKPI, Hazi Kadir (kiri) melahirkan perasaan gembira bersama-sama guru menunjukkan sebahagian android TV yang diterima.
Menurutnya,
rentetan daripada itu selepas mendapatkan persetujuan Majlis Tertinggi PIBG
SKPI, penggunaan TV berkenaan diutamakan kepada murid tahun tiga dan enam yang
berkongsi kelas untuk mempraktikkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran
bermula November 2020.
Jelas beliau, daripada jaringan kerjasama, PIBG berjaya menarik Westport Malaysia yang
sama-sama ingin menyumbang kepada pembangunan pendidikan SKPI dan bersetuju menambahkan lima lagi TV berkenaan
yang menjadikan jumlah pada masa itu kepada 10 unit.
Tambahnya, android TV dipilih bagi memudahkan guru dan murid mengakses terus sumber pengajaran dan pembelajaran kepada dunia maya apabila pelbagai sumber dan bahan pembelajaran boleh didapati dengan mudah.
“Murid yang sudah terdedah dengan pembelajaran maya pada waktu perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19, manakala guru menyediakan diri dengan pengajaran menggunakan video secara langsung melalui platform Youtube dan Google Meet bersama murid membabitkan keseluruhan subjek pengajaran di SKPI.
“Hasil maklum balas daripada murid mendapati sangat teruja dengan kemudahan yang dilengkapi pihak sekolah ini dan mereka sendiri lebih arif serta kehadapan dengan penggunaan android TV dalam kehidupan khusus pembelajaran,” katanya.
Ketua Keselamatan Westport Malaysia, Dato' K Manoharan (kiri) melakukan gimik penyerahan android TV kepada SKPI yang diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri sambil disaksikan oleh Hazi (kanan).
Hazi berkata, hasil perkongsian idea itu
juga dengan membabitkan masyarakat setempat mendapati SKPI mengorak langkah
awal dalam dunia pendidikan menjadi pencetus
kepada penyediaan TV pintar di sekolah kebangsaan lain dalam negara.
Menurutnya, langkah itu dikongsi pula lagi
oleh pihak Sekolah Amanah dalam Jaringan Sekolah Amanah Malaysia sehingga nama
SKPI terkenal kerana berjaya merealisasikan idea pendidikan digital melalui
penggunaan android TV di dalam kelas.
Jelas beliau, perkembangan itu menarik
perhatian syarikat pembekal makanan kucing, Magna Nova yang beroperasi di Pulau
Indah tampil memberi kerjasama untuk bersama memacu pembangunan pendidikan SKPI apabila
menaja 10 unit lagi android TV.
Majlis penyerahan tajaan android TV oleh Westport diadakan pada 26 Februari 2021, manakala Magna Nova pula pada 25 Mac 2021 yang menjadi peristiwa bersejarah bagi SKPI apabila ada pihak swasta bersedia berganding bahu untuk melakar kecemerlangan pendidikan di daerah berkenaan.
Murid SKPI mengikuti pembelajaran menggunakan android TV bagi meningkatkan lagi kefahaman mereka dalam satu-satu subjek.
Hazi berkata, menjelang
penghujung tahun 2021, jumlah android Tv di SKPI telah mencecah 30 unit dengan
semua kelas membabitkan murid dari Prasekolah sehingga Tahun Enam dapat
menggunakan kemudahahan itu termasuk bilik khas seperti makmal sains, surau,
bilik rehat guru dan terkini pejabat sekolah.
Menurutnya, guru
SKPI menyifatkan kemudahan TV itu amat membantu menyediakan suasana pengajaran
dan pembelajaran menyeronokkan serta membolehkan mereka membawa murid menyelami
dunia pendidikan tanpa sempadan dan mengaplikasikan maklumat di hujung jari.
Amat membanggakan
apabila kemudahan internet dipertingkat kelajuannya oleh pihak Westport
Malaysia dalam usaha membantu SKPI khusus murid mencari sumber pelajaran
menerusi alam maya tanpa sebarang gangguan.
Ujarnya, langkah itu menyebabkan murid lebih bebas disamping seronok belajar dengan mengeksplorasi video berkaitan pendidikan apabila diperlukan dengan kawalan guru serta menjadikan mereka lebih aktif dan bersemangat berbanding kaedah pembelajaran konvensional.
Guru SKPI berasa bangga dan bersyukur kerana dapat mempraktikkan penggunaan teknologi dalam pengajaran kepada murid.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan
Kokurikulum SKPI, Mohammad Haris Halim yang sudah bersama dari awal Program
Sekolah Amanah sehingga sekolah itu berjaya tamat tempoh matang program
menzahirkan bahawa penyediaan android TV berkenaan berjaya merubah landskap pendidikan.
Jelas beliau,
penggunaan android TV itu menjadikan SKPI setaraf dengan sekolah di bandar besar
dan membantu guru meningkatkan profesionalisme perguruan seiring dunia
pendidikan semasa yang semakin maju ke depan.
”Terkini pelbagai program berjaya dianjurkan secara dalam talian dan luar talian oleh Persatuan Agama Islam dan Panitia Agama Islam SKPI sebagai satu medium dakwah kepada murid dan masyarakat luar Pulau Indah selain berkolaborasi bersama beberapa sekolah lain di dalam dan di luar daerah Klang.
"Antara program berkenaan Ihya Ramadhan 2022, Program Maal Hijrah 2022, Simulasi Haji Cilik dan Karnival Imarah Surau 2022,” katanya. - KitaReporters
Hazi menunjukkan isyarat bagus selepas idea beliau bersama Mohd Haffiz membuahkan hasil yang cemerlang dalam pendidikan SKPI sehingga menjadi contoh.