Alam & Sains 25 Jan, 2026

Perluas sumber ubat generik yang berpatutan! Tamatkan budaya lapuk, monopoli perolehan ubat! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kementerian Kesihatan (KKM) disaran memperluas sumber ubat generik yang berpatutan di samping mengurangkan kebergantungan kepada sumber ubat-ubatan yang berkos tinggi dari Amerika Syarikat dan Eropah semata-mata.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha ini perlu bagi mengekang budaya lapuk dan monopoli lama.

"Budaya lapuk yang membenarkan monopoli perolehan ubat mesti ditamatkan. Untuk itu, KKM harus berani meneroka alternatif baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber berkos tinggi dari Amerika Syarikat dan Eropah semata-mata.

"Selain itu, saya menegaskan keperluan kementerian memperluas sumber ubat generik yang berpatutan melalui penerokaan pembekalan antarabangsa, bagi mengekang kos rawatan dan melindungi kepentingan rakyat," jelasnya.



Anwar berkata demikian semasa merasmikan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya, di Pulau Pinang yang mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkasa sistem kesihatan awam negara.

Belanjawan 2026 memperuntuk RM46.5 bilion untuk sektor kesihatan, meningkat daripada RM45.3 bilion untuk tahun sebelumnya (2025).

Fokus utama bajet ini untuk reformasi menyeluruh, peningkatan infrastruktur (RM1.2 bilion untuk hospital/klinik), pembelian peralatan moden (RM755 juta), digitalisasi (Rekod Perubatan Elektronik), penambahbaikan sumber manusia (gaji/elaun), dan pengukuhan perlindungan insurans seperti Pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan atau MHIT (RM60 juta). 



Kata Perdana Menteri, pembukaan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya ini menumpukan peluasan akses, peningkatan kapasiti serta pemerkasaan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya bagi penduduk Seberang Perai dan kawasan sekitarnya, selaras dengan keperluan rakyat yang kian meningkat.

"Saya turut singgung kepentingan mempergiat kempen kesedaran gaya hidup sihat, termasuk isu pengambilan gula berlebihan.

"Saya juga menyatakan iltizam Kerajaan Madani untuk terus melabur dalam prasarana kesihatan yang moden, adil dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat," tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
17
0
7
0
You will be interested