Kerajaan bakal melancarkan Malaysia Digital 2030 (MD 2030) sebagai pemacu utama pelaksanaan agenda digital dan AI, serta memperkenal inisiatif Government Innovation Initiative (GII) melibatkan Kesihatan Malaysia dan Kementerian Digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persiapan untuk pelancaran MD 2030 pada April 2026 sebagai pemacu utama pelaksanaan agenda digital dan AI ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030 perlu dipertingkat.
"Selain itu, inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Digital berkaitan GII (Inisiatif Inovasi Kerajaan) yang berpotensi memberi impak besar kepada penambahbaikan sistem kesihatan negara juga diperhalusi," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 1/2026 di Putrajaya pada 9 Februari 2026.
MED4IRN berperanan memastikan pelaksanaan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI) negara digerakkan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan demi kepentingan rakyat.

Anwar berkata, dalam mesyuarat itu, beliau menegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi mesti mempertingkat serta mempercepat pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dipersetujui sebelum ini.
"Ini termasuk persiapan pelancaran MD 2030 pada April 2026 sebagai pemacu utama pelaksanaan agenda digital dan AI ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030," ujarnya.
Kata beliau, mesyuarat turut menekankan usaha memperhebat pendaftaran MyDigital ID, khususnya bagi aplikasi-aplikasi kerajaan, di samping mewajibkan integrasi sistem baharu serta penyepaduan sistem sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berteraskan keperluan rakyat.

"Turut menjadi agenda adalah pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Digital berkaitan GII yang berpotensi memberi impak besar kepada penambahbaikan sistem kesihatan negara.
"Mesyuarat juga mengambil maklum input daripada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (National AI Office, NAIO) yang menekankan pembangunan dasar AI berasaskan bakat tempatan, meliputi pelbagai sektor serta memastikan peluang penyertaan yang inklusif kepada semua peringkat umur," tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media