Alam & Sains 21 Feb, 2026

Video| Burung hering di Melaka? Cetus tanda tanya! Spesies hijrah atau benar-benar wujud di Malaysia?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Satu video pendek dalam TikTok milik pencipta kandungan @Maksalleh.kitchen tiba-tiba mencuri perhatian apabila memaparkan seekor burung hering (vulture) datang menghampiri kawasan rumah mereka di Melaka. 

Rakaman itu dimuat naik dari lokasi Malacca Island (Pulau Melaka), daerah Melaka Tengah dan dengan pantas mengundang 129.4k tontonan, ratusan komen serta perbincangan hangat dalam kalangan netizen.



“Assalamualaikum. Hari ini Franzi buat content dan 1 burung datang,” tulis pemilik akaun, disertai tanda pagar #vultures #vulture #perhilitan #burung. Klip itu dimuat naik dalam TikTok dan tular.

Burung hering ialah kumpulan burung pemakan bangkai yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sebagai ‘pembersih semula jadi’. 

Ia memakan sisa bangkai serta membantu mengurangkan penyebaran penyakit dan mempercepat kitaran nutrien di alam.



Di rantau Asia, terdapat beberapa spesies hering yang terkenal, antaranya Himalayan Griffon, White-rumped Vulture dan Slender-billed Vulture. Namun, di Malaysia, populasi hering sangat jarang direkodkan. 

Malah, beberapa spesies Asia pernah merosot teruk akibat penggunaan ubat antiradang tertentu dalam ternakan (seperti diclofenac) yang beracun kepada hering apabila mereka memakan bangkai haiwan terdedah.

Justeru, kemunculan burung hering di halaman rumah di Melaka ini benar-benar mengejutkan. 

Seawal video itu tular, ruangan komen dipenuhi rasa hairan, teruja dan persoalan.



“Burung tu memang ada kat Malaysia ke? Serius aku kali pertama nampak ni, itu pun kat TikTok ni ha,” tulisnya takjub.

Nada sama turut disuarakan oleh seorang lagi netizen.

“Ni burung yang makan mayat kat Tibet tu ke? Burung hering? Kali pertama ni aku nampak ada kat Malaysia,” komennya seakan-akan tidak percaya.



Kekaguman bercampur kekeliruan jelas terpancar. Ramai mengakui inilah kali pertama mereka melihat hering ‘secara dekat’ di Malaysia. 

Perbincangan mula berubah arah apabila seorang netizen tampil dengan teori menarik.

“Ia berhijrah dari Himalaya. Hentian akhirnya ialah Singapura. Dan mereka akan terbang balik ke Himalaya,” dakwanya, namun tidak dapat dipastikan kebenaran dakwaannya itu.



Jika benar, ini bermakna burung itu bukan ‘penduduk tetap’ Malaysia, tetapi burung hijrah yang tersasar atau singgah sementara dalam perjalanan jauh.



Manakala seorang netizen membawa perspektif sejarah. Menurutnya, burung ini pernah wujud di Malaysia satu ketika dulu sebelum pupus kerana ubat antiradang. 

“Dulu Malaya Vulture ni pupus sebab ubat antiradang digunakan dalam penternakan lembu kambing secara besar-besaran di Malaysia. Bertuahnya dapat tengok,” jelasnya.

Kenyataan tersebut disokong oleh seorang lagi netizen.

“Sebagai rakyat Malaysia hampir 30 tahun, ini kali pertama saya lihat burung macam ni di Malaysia. Mereka dianggap hampir pupus di sini,” tulisnya.



Walaupun belum ada pengesahan rasmi, kemungkinan besar burung itu ialah Himalayan Griffon, spesies yang memang diketahui berhijrah jauh dan kadangkala tersasar ke Asia Tenggara ketika musim tertentu. 

Laluan terbangnya boleh meliputi jarak ribuan kilometer, bergantung kepada cuaca dan sumber makanan.

Jika benar, kemunculan di Melaka mungkin hanya singgahan sementara sebelum burung itu meneruskan perjalanan ke selatan, berkemungkinan sehingga Singapura, sebelum berpatah balik ke utara.

Apa pun jawapannya, burung hijrah, spesies tersasar atau ‘tetamu’ yang keletihan, kehadiran hering ini menjadi peringatan bahawa alam masih menyimpan kejutan. 

Ia juga mengingatkan kita betapa rapuhnya ekosistem dan betapa pentingnya kita menjaga keseimbangan antara manusia dan hidupan liar.

Moga video yang tular ini membuka ruang kesedaran dan mendorong pihak berkaitan seperti PERHILITAN untuk membuat pemantauan lanjut. - KitaReporters



10
20
0
8
0
You will be interested